Status pekerja gig dari segi perundangan masih diteliti - Utusan Malaysia

Status pekerja gig dari segi perundangan masih diteliti

 NASIB jutaan pekerja gig di Malaysia setakat ini belum lagi dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan bahawa isu status pekerja gig di negara ini dari segi kawal selia aspek perundangan sedang diteliti dengan pelbagai pihak.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, setakat ini nasib golongan terbabit belum lagi berada di bawah kawalan Akta Kerja 1955 yang hanya tertakluk kepada pekerja bergaji tetap.

“Justeru, kementerian akan meneliti keperluan penggubalan perundangan khusus bagi mengawal selia dan melindungi kebajikan pekerja gig,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Isu diperkatakan warganet melalui wadah media sosial malah dibawa ketika sesi soal jawab di Parlimen susulan perkembangan terkini hasil keputusan Mahkamah Agung di Britain.

Hakim di negara itu menyatakan bahawa petugas ekonomi gig sebagai layak menerima hak pekerja dalam penghakiman akhir April lalu terhadap kes firma aplikasi Uber BV lawan Aslam.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, keputusan di Britain akan diperhalusi kementerian sama ada boleh dipakai dan disesuaikan pula untuk pengawalseliaan pekerja gig di Malaysia.

“Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bakal dianjurkan pihak kementerian dalam masa terdekat dan maklum balas isu ini akan diserahkan terus kepada jemaah Kabinet,” jelas beliau.

Setakat ini, ujar beliau, pekerja gig hanya mendapat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pertubuhan Buruh Antarabangsa, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu menganggarkan ada lebih 300 juta pekerja gig seluruh dunia yang muncul hasil kemajuan teknologi maklumat.

 Dalam pada itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerusi kenyataan berasingan merujuk isu tersebut dengan masalah ketidakadilan yang menimpa penghantar makanan atau p-hailing.

 Exco Pekerjaan dan Modal Insan Pejuang Muda, Mohd. Akmal Yusoff berkata, kementerian itu terutama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia digesa mengambil tindakan segera.

 “Pekerja ‘rider’ ini wajar diberikan penarafan di bawah Akta Kerja 1955 tanpa sebarang alasan lagi kerana hanya melalui cara sebegini, kebajikan mereka lebih mudah diuruskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.