PETALING JAYA: Seramai 168 individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian dengan kerugian RM4.6 juga ditahan dalam 19 operasi bermula Januari lalu hingga semalam.
Operasi itu dijalankan pasukan khas yang ditubuhkan susulan 255 kes yang dilaporkan berhubung penipuan tersebut bagi tempoh Januari sehingga 31 Ogos 2021.
Kesemua tangkapan yang terdiri daripada 38 wanita, 118 lelaki tempatan, 11 warga China dan seorang wanita Thailand ditahan di ibu negara, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara jiran dengan gaji lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.
Katanya, modus operandi dengan menggunakan aplikasi WhatsApp dan laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menawarkan jawatan menjadi ejen syarikat membeli barangan di platform e-dagang.
“Mangsa kemudian diberi beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dalam tempoh diberi dengan menghantar gambar produk dipilih kepada suspek sebelum diarah membuat pembayaran ke akaun diberikan.
“Bagi meyakinkan mangsa, sindiket akan membayar semula harga barangan dibeli dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin berkata, pada peringkat awal mangsa diarah membeli barangan murah menerusi aplikasi e-dagang sebelum terpaksa membeli produk berharga tinggi menyebabkan mangsa tidak mampu untuk membelinya dan dikenakan penalti.
Jelasnya, penaliti itu termasuk pembayaran denda, yuran pemprosesan, cukai, tukaran wang asing dan memaksa mangsa terus membuat bayaran untuk menuntut kembali wang yang telah dibayar.
“Apabila mangsa enggan meneruskan tugasan dan menuntut wang kembali, suspek memberi alasan seperti dalam proses pemindahan dan memerlukan mereka membuat bayaran sebelum menyedari ditipu.
“Sindiket menggunakan modus operandi ini memandangkan ramai di kalangan masyarakat bekerja dari rumah atau telah kehilangan punca pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda,” kata beliau.
Tambahnya, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Beliau turut menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran kerja secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak menarik tanpa memerlukan usaha keras kerana itu bukan caranya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










