GENTING HIGHLANDS: Resorts World Genting (RWG) menampilkan 20 pasukan tarian naga terbaik dari seluruh negara bagi merebut gelaran berprestij dalam Kejohanan Naga Gemilang Kebangsaan.
Kejohanan tersebut menyaksikan Persatuan Tarian Naga Ao Feng Gong Batu 8 1/2 Skudai, Johor muncul sebagai juara sekali gus dinobatkan sebagai ‘Raja Naga’ dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5,000.
Dalam pada itu, dua lagi pasukan lain iaitu Kelab Tarian Singa Dan Naga Xuan Long Shi, Johor dan Malaysia Yahya Awal Dragon Dance Troupe, Johor masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam saingan sengit yang menghimpunkan bakat terbaik tarian naga dari seluruh negara.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, kejohanan yang julung kali diadakan ini bukan sekadar satu pertandingan fizikal, sebaliknya merupakan ‘pesta cahaya’ yang menggabungkan seni, budaya dan ekspresi visual.
Menurutnya, penganjuran ini diilhamkan daripada bimbingan Pasukan Tarian Naga dan Singa Persatuan Alumni Sekolah Menengah Katolik dengan memperkenalkan segmen rekaan kreatif.
“Acara ini bukan sekadar satu pertandingan tetapi merupakan pentas di mana semangat dan imaginasi memberi nafas baharu kepada salah satu simbol budaya paling ikonik di Asia, iaitu naga.
“Melalui rekaan, hasil tangan dan semangat berpasukan, para peserta dari seluruh negara akan menyerlahkan semangat perpaduan dan kreativiti yang menjadi tunjang kejohanan ini,” katanya.
Acara yang berlangsung di Arena of Stars pada 14 Disember 2025 itu merupakan satu inisiatif penting dalam memartabatkan seni warisan tarian naga ke satu tahap yang lebih tinggi dengan suntikan elemen moden.
Keunikan kejohanan tersebut terletak pada elemen ‘Luminous’ (bercahaya) di mana setiap pasukan dicabar untuk menghasilkan rekaan naga bersisik kilauan cahaya yang kreatif tanpa mengenepikan keharmonian gerakan serta ketangkasan fizikal.
Antara pasukan yang menyertai acara tersebut termasuklah Persatuan Tarian Naga Ao Feng Gong Batu 8 1/2 Skudai dari Johor, Pertubuhan Kew Ong Yeah Dragon and Lion Dance (Pulau Pinang), serta Persatuan Tarian Naga & Singa Hong Teck Brickfields (Kuala Lumpur).
Acara itu turut menyaksikan penyertaan pasukan dari pelbagai negeri termasuk Melaka, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah, menjadikan saingan kali ini cukup sengit dan bersifat nasional.-UTUSAN
PERSATUAN Tarian Naga Ao Feng Gong Batu 8 1/2 Skudai, Johor meraih juara dalam Kejohanan Naga Gemilang Kebangsaan Resorts World Genting.










