SEORANG ketua kampung dari Cameroon memenangi Anugerah Nansen yang berprestij daripada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) kerana jasanya menempatkan dan mengintegrasikan 36,000 orang yang melarikan diri daripada keganasan di negara jiran, Republik Afrika Tengah (CAR).
Di bawah kepimpinan Martin Azia Sodea dan keluarganya, kampung Gado-Badzere yang mempunyai 14,000 penduduk berhampiran sempadan timur Cameroon, menempatkan mereka yang melarikan diri daripada keganasan pasca-pilihan raya di CAR pada 2014 dan 2021, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Idea awal adalah untuk memastikan kelangsungan hidup dan kesihatan mereka. Jika mereka meninggalkan CAR dan datang ke Cameroon, ia adalah untuk menyelamatkan nyawa mereka.
“Kami berkata kepada diri kami sendiri yang kami perlu berhubung secara langsung dengan pelarian supaya mereka dapat melepaskan tekanan dan berkomunikasi dengan kami. Kami membina cara hidup bersama ini, kemudian memberi mereka tanah dan membina tempat perlindungan,” kata Sodea kepada AFP.
UNHCR memuji Sodea sebagai pemimpin berwawasan kerana tindakannya memberi inspirasi kepadaketua puak tradisional lain untuk menyokong pelarian, sekali gus membantu mencetuskan perubahan dalam cara pelarian diterima di seluruh rantau ini.
“Kepimpinannya menjadikan sebuah kampung kecil sebagai simbol solidariti, dibina atas kepercayaan mereka yang tiba dalam kesusahan layak mendapat sokongan dan ruang untuk bernafas,” kata agensi itu.
Pemenang Anugerah Pelarian Nansen UNHCR menerima medal peringatan dan AS$100,000 (RM410,691) untuk dilaburkan semula dalam inisiatif kemanusiaan.
Diasaskan pada 1954, penghormatan tahunan ini dinamakan sempena pengembara kutub Norway, Fridtjof Nansen. Pemenang Hadiah Keamanan Nobel 1922 itu merupakan Pesuruhjaya Tinggi pertama bagi pelarian Liga Bangsa-Bangsa, pendahulu PBB.
Empat pemenang serantau turut dihormati tahun ini, masing-masing menerima AS$25,000 (RM102,668).
Antaranya, seorang eksekutif di Mabe, Pablo Moreno Cadena, menggalakkan pengeluar perkakas utama Mexico itu untuk aktif mengambil dan mengintegrasikan pelarian.
Organisasi Ukraine, Proliska turut menerima penghormatan kerana menyediakan bantuan menyelamatkan nyawa kepada lebih 3.2 juta orang, sering di kawasan paling berbahaya dan terpencil.
Seorang lagi pemenang adalah, Taban Shoresh yang menubuhkan The Lotus Flower, sebuah organisasi dipimpin wanita untuk menyokong golongan hawa dan gadis yang terpaksa berpindah di Kurdistan, utara Iraq.
Pelarian Afghanistan dan pengasas bersama Ariana Learning Centre di Tajikistan, Negara Nazari menerima anugerah sama atas usahanya membina sebuah sekolah untuk pelarian muda Afghanistan yang tidak mendapat akses pendidikan.
“Pemenang tahun ini mengingatkan kita walaupun dalam situasi paling getir, belas kasihan dan keprihatinan terus bersemi.
“Mereka mewakili semangat Nansen, kepercayaan kuat setiap orang yang terpaksa melarikan diri walau di mana sahaja mereka berada, layak mendapat maruah, keselamatan dan harapan,” kata Filippo Grandi, yang akan menamatkan tempoh 10 tahun sebagai Pesuruhjaya Tinggi UNHCR pada 31 Disember ini.
Majlis penganugerahan akan diadakan di Geneva pada 16 Disember ini. Pelakon Australia, Cate Blanchett yang juga Duta Khas UNHCR bagi Tujuan Kemanusiaan akan berucap pada majlis tersebut.
Pemenang sebelum ini termasuk diplomat AS, Eleanor Roosevelt; Ratu Juliana dari Belanda; Raja Olav V dari Norway; Presiden Perancis, Valery Giscard d’Estaing; rakyat Kanada, Raja Juan Carlos I dari Sepanyol; Pertubuhan Doctors Without Borders; Tenor opera terkenal dunia, Luciano Pavarotti dan bekas Canselor Jerman, Angela Merkel. – UTUSAN










