PADANG BESAR: Sifat santun merupakan pagar dalam budaya yang mampu mempertahankan maruah dan nilai akhlak dalam kalangan masyarakat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan remaja khususnya perlu diberikan penerapan terhadap nilai tersebut selain diberi pemahaman sebenar mengenai definisinya terutama mengikut ajaran Islam.
“Rasulullah SAW adalah contoh teladan dan ikutan terbaik seluruh umat manusia. Oleh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mengikuti dan mencontohi sifat-sifat dan akhlak baginda dalam kehidupan seharian,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf di Masjid Al Ali Bin Abi Talib Perawah, Datuk Kayaman, di sini semalam.
Setiap asnaf terpilih terdiri daripada anak kariah masjid tersebut masing-masing menerima RM700 dan diagihkan oleh amilnya, Ali Ismail.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor turut mengajak masyarakat untuk terus membudayakan pekerti santun kepada generasi muda hari ini.
“Semua pihak hendaklah sama-sama memainkan peranan dalam menyebarluaskan didikan adat dan budaya timur yang sentiasa menjunjung nilai santun yang sebenar demi menjaga maruah dan harga diri,” katanya. – UTUSAN










