Siakap masih murah, ikan paling mahal bawal putih - Utusan Malaysia

Siakap masih murah, ikan paling mahal bawal putih

SIAKAP banyak diternak di Pulau Pinang diikuti jirannya, Perak dan Kedah sebelum dijual di pasaran tempatan. – Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peminat masakan yang berasaskan ikan siakap di negara ini tidak perlu risau kerana spesies tersebut masih lagi berada dalam jajaran harga rendah di pasaran domestik.

Demikian laporan harga purata runcit diterbitkan secara mingguan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang memaparkan siakap adalah lebih murah berbanding ikan jenis lain.

Berdasarkan tinjauan menerusi laman sesawang rasmi agensi itu pada hari ini, harga spesies tersebut hanya RM19.59 bagi setiap kilogram direkodkan sepanjang minggu ketiga bulan lalu.

Untuk harga minggu pertama bulan ini, LKIM belum lagi mengemas kini tetapi jika dilihat trend ikan tersebut sepanjang Oktober lepas, harganya berlegar sekitar RM19 sekilogram sahaja.

Secara congak mudah, harga siakap hanya menokok sebanyak RM1 berbanding September sebelumnya iaitu langsung tidak banyak berubah pun daripada minggu pertama Januari lepas.

Sebaliknya, laporan LKIM pada minggu ketiga Oktober itu menunjukkan harga ikan paling mahal di negara ini kekal dipegang bawal putih iaitu RM43.23, diikuti ikan merah RM30.11.

Seterusnya tenggiri batang dengan harga runcit RM28.68 disusuli kerapu (RM26.38), bawal hitam (RM25.96) dan kemudian siakap yang mahal sedikit daripada tilapia merah (RM13.98).

Setakat ini, rekod LKIM menunjukkan ikan paling murah di Malaysia terus disandang keli iaitu RM8.06 sekilogram diikuti selayang (RM9.57), cencaru (RM9.77) dan aya kurik (RM10.10).

Ikan popular rakyat negara ini iaitu pelaling pula masih lagi stabil iaitu RM10.17 sekilogram disusuli kerisi (RM12.41), selar kuning (RM12.72), selar (RM13.69) dan kembung (RM13.83).

Semalam, Utusan Online melaporkan nasib sekumpulan pelanggan yang terkejut dikenakan caj RM1,196 bagi seekor siakap dimasak di sebuah restoran terapung di Langkawi, Kedah.

Namun pemilik premis makanan laut itu menjelaskan ia memang harga sebenar ikan seberat 7.5 kilogram tersebut bahkan telah memaklumkan mengenai caj ada dinyatakan dalam menu.

Ikan berkenaan malah diternak selama 11 tahun dengan hanya diberi makan ikan kecil yang segar dan bukannya bahan dedak lazim seperti di kebanyakan sangkar ikan komersial lain.

Harga yang dipaparkan LKIM itu juga adalah tidak jauh beza daripada statistik diterbitkan Jabatan Perikanan Malaysia untuk harga secara purata ikan tersebut sepanjang tahun lalu.

Agensi itu memaklumkan bahawa nilai runcit pengeluaran akuakultur ikan air payau tersebut pada tahun lepas ialah RM403,390,470 daripada keseluruhan 23,033 tan metrik dihasilkan.

Ini bermakna secara matematik, sekilogram siakap dijual pada harga RM17.51 dengan Pulau Pinang kekal paling banyak ikan ini dikeluarkan diikuti negeri jirannya, Perak dan Kedah.

Juga disebut kakap putih, ikan yang kaya khasiat ini dengan nama saintifiknya Lates calcarifer merupakan pemangsa, manakala spesies kecil pula amat popular dijadikan ikan akuarium. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya