fbpx

Sembelih ayam tak matang sebab permintaan tinggi

Tinjauan di Pasar Permatang Manggis, Penaga, mendapati harga ayam melambung naik mencecah harga RM9.50 sekilo. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Belumpun selesai isu kenaikan harga bekalan ayam di pasaran dan penyeludupan haiwan hidup itu dari Siam, kini timbul pula isu penjualan ayam segar belum cukup matang dengan anggaran berat maksimum 700 gram.

Sebahagian peniaga di pasar awam daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini mula merungut tentang saiz ayam segar paling minimum yang diperoleh mereka darpadai pihak pemborong.

Difahamkan, ada dalam kalangan peniaga bertindak mengembalikan semula stok ayam segar itu kepada pihak berkenaan dengan alasan tidak sanggup menanggung kerugian besar.

Seorang peniaga ayam segar di pasar awam daerah Barat Daya yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia sanggup menutup operasi perniagaan sekiranya masih menerima bekalan ayam yang belum cukup matang.

Dakwanya, jisim berat ayam kini lebih ringan manakala saiznya terlalu kecil berbanding yang dipasarkan sebelum ini.

“Sudahlah berdepan dengan banyak kenaikan harga bekalan mentah terutama plastik, sekarang terpaksa pula jual ayam dengan anggaran harga serendah RM6.65 dengan berat 700 gram. Kami juga perlu melunas kos sewa tapak, gaji harian pekerja dan bil elektrik serta air.

“Pembekal beri alasan penternak terpaksa menyembelih ayam yang tak cukup umur atau belum membesar dengan saiz yang sepatutnya di ladang kerana mendapat permintaan yang terlalu tinggi dalam kalangan peniaga terutama peniaga makanan,” katanya di sini semalam.

Ketika ini, ayam segar dipasarkan antara harga RM9.60 hingga RM9.80 sekilogram di pasar awam dan kedai runcit di negeri ini.

Katanya, bekalan ayam bersaiz kecil atau yang tidak cukup matang kini dikatakan hanya dihantar pembekal dan dipasarkan di pasar raya pada harga serendah RM8 seekor.

Sementara itu, seorang pengguna, Muhammad Syafiq Ahmad, 46, memberitahu, dia terkejut apabila mendapati saiz bagi seketul paha ayam goreng yang dihidangkan di sebuah restoran makanan di negeri ini semakin kecil.

“Sebelum ini, seketul paha ayam goreng itu boleh dilihat dengan saiz yang hampir memenuhi tapak tangan sedangkan harga hidangan lauk itu masih sama seperti saiz sebelum ini,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI