PETALING JAYA: Kesemua 26 Bahagian Gerakan Reset di Johor akan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan), susulan pengumuman penubuhan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.
Penyelaras Gerakan Reset Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, penubuhan Wawasan penting bagi memastikan perjuangan yang digerakkan menerusi Gerakan Reset Malaysia dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Katanya, parti itu juga menyediakan wadah politik yang sah bagi menterjemahkan agenda perubahan kepada dasar dan tindakan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya menyambut baik pengumuman Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung penyertaan beliau ke dalam Wawasan.
“Selaras dengan perkembangan tersebut, saya menyatakan kesediaan penuh untuk mentransformasikan keseluruhan 26 Bahagian Gerakan Reset di Johor bagi menyertai Wawasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkifli berkata, Gerakan Reset Malaysia diasaskan Hamzah selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari lalu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat yang berkongsi aspirasi untuk melihat sebuah negara lebih adil dan sejahtera.
Beliau berkata, usaha melakukan pembaharuan tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa sebuah wadah politik yang mampu membawa gagasan itu ke peringkat dasar dan pelaksanaan.
“Atas sebab itu, Wawasan bukan sekadar sebuah parti politik tetapi merupakan kesinambungan kepada perjuangan Reset yang telah digerakkan.
“Kedua-duanya berkongsi matlamat sama, iaitu memperbetulkan sistem yang semakin memerlukan pembaharuan serta membina konsensus nasional baharu yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang,” katanya. – UTUSAN







