Selepas Covid-19, tengkujuh ‘jerat’ pendapatan nelayan - Utusan Malaysia

Selepas Covid-19, tengkujuh ‘jerat’ pendapatan nelayan

MUSTAKIM Mat Hussin membaiki dan mengecat bot di rumahnya di Pulau Kundor, Kota Bharu kerana tidak dapat ke laut sepanjang musim tengkujuh.– UTUSAN/ ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Belum sempat bangkit selepas hidup terhimpit berbulan-bulan di musim pandemik, nelayan di negeri ini terpaksa pula ‘menggantung’ pukat, ekoran musim tengkujuh yang sudah bermula.

Tinjauan sekitar daerah ini, Bachok, Pasir Puteh dan Tum­pat mendapati, nelayan sudah seminggu tidak turun ke laut, dengan kebanyakan bot atau perahu diangkut ke tempat le­bih selamat bagi mengelak rosak dibadai ribut atau dihempas ombak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, rata-rata nelayan menyifatkan ‘cuti’ musim tengkujuh akibat Monsun Timur Laut mulai November hingga awal tahun berikutnya menjadi rutin wajib mereka saban tahun.

Namun, tahun ini peritnya lebih terasa apabila mereka yang sudah lama terjejas sumber pendapatan, tidak sempat bangkit semula untuk mencari rezeki kerana perlu berdepan musim tengkujuh pula.

Seorang nelayan di Pantai Pulau Kundor, Mustakim Mat Hussin, 48 berkata, demi kelangsu­ngan hidup, dia kini mengambil upah membaiki dan mengecat bot fiber sebagai kerja sambilan.

“Sepanjang musim tengkujuh ini, cuaca yang tidak menentu dan laut bergelora membahayakan nyawa sesiapa sahaja. Maka saya cuba cari alternatif lain dan memanfaatkan kemahiran yang ada.

“Saya baiki dan cat bot nelayan yang rosak dengan kadar upah bergantung kepada tahap kerosakan bot. Alhamdulillah dengan kerja sambilan ini, dapatlah saya menyara keluarga sementara tidak dapat ke laut beberapa bulan ini,” katanya.

Sementara itu, nelayan di Pantai Pachakan, Pasir Puteh, Mustafa Hassan, 72, berkata, masuk sahaja musim tengkujuh, dia terpaksa hidup dengan wang tabungan, selain bantuan kerajaan dan pihak yang prihatin.

“Sepanjang November hingga Februari, pesisir pantai berubah menjadi zon merah kerana keadaan angin sangat kencang dan laut bergelora. Bagi nelayan kecil seperti saya, sampan amat mudah terbalik dan karam.

“Cuma tahun ini, saya berdepan ujian berganda apabila duit tabungan untuk ke­gunaan di musim tengkujuh, sudah habis digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mujurlah ada pertubuhan kebajikan tampil beri bantuan makanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN