Tujuh PATI warga Taiwan ditahan bersama 76 Iphone pelbagai model - Utusan Malaysia

Tujuh PATI warga Taiwan ditahan bersama 76 Iphone pelbagai model

ANTARA lokasi diserbu pihak polis menerusi operasi dijalankan sekitar Kampung Kubang Tiga, Padang Besar, Perlis, semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Cubaan tujuh lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Taiwan yang cuba memasuki sempadan negara melalui laluan haram sekitar Kampung Kubang Tiga, di sini, gagal apabila mereka ditahan menerusi serbuan dilaksanakan polis, semalam.

Dalam operasi sekitar pukul 12 tengah hari itu, sepasukan anggota berjaya menahan semua lelaki berkenaan menerusi Ops Pintas Kayang yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, semua suspek berkenaan berusia lingkungan 22 hingga 28 tahun itu ditahan menerusi serbuan itu di tiga lokasi berbeza sekitar kampung berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini secara haram melalui sempadan darat,” katanya.

Mohd Shokri berkata, menerusi penahanan itu, polis turut merampas sebuah beg yang di dalamnya mengandungi 76 telefon bimbit jenis Iphone pelbagai model bersama satu komputer riba.

Beliau berkata, semua tangkapan berkenaan telah dibawa ke IPD Padang Besar bagi menjalani siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika sabit salah, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000, penjara sehingga lima tahun, atau keduanya sekali, serta sebatan.

“Semua PATI ini ditahan reman di bawah peruntukan 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63 sehingga 14 hari bermula 20 April sehingga 3 Mei bagi membantu siasatan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN