KANGAR: Pas mengesahkan enam wakil rakyatnya tidak akan bertindak mengemukakan usul undi tidak percaya atau menjatuhkan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dakwaan kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Abu Bakar di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis adalah sama sekali tidak berasas.
Katanya, jika enam wakil rakyat berkenaan mengambil tindakan yang boleh bertentangan dengan pendirian Pas pusat yang sebelum ini telah menyatakan pendirian menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas nama Perikatan Nasional (PN) itu, mereka akan dikenakan tindakan tegas.
“Tidak ada sama sekali pakatan untuk menjatuhkan Menteri Besar, semua dakwaan (undi tidak percaya terhadap Menteri Besar) itu adalah tidak benar. Selepas krisis sebelum ini, Pas pusat telah membuat ketetapan menyokong kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar dari Bersatu atas nama PN sehingga habis penggal.
“Bagaimana wakil rakyat Pas nak buat undi tidak percaya apabila Pas pusat sendiri sudah buat keputusan menyokong pentadbiran Menteri Besar sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan pendirian itu masih kekal sehingga kini.
“Jika buat (usul undi tidak percaya), mereka sudah pasti akan diambil tindakan oleh Pas pusat,” katanya Pengerusi PN negeri itu ketika ditemui di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Abu Bakar menafikan penangguhan sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April disebabkan beliau takut dijatuhkan.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu menekankan bahawa keputusan menangguhkan sidang tersebut bukan berada di bawah kuasa mutlak Menteri Besar sebaliknya dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.
Sebelum ini, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang disifatkan oleh mereka tidak pernah berlaku sebelum ini.
Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Wakil rakyat dari Pas itu turut mengingatkan Abu Bakar supaya tidak takut dengan bayang-bayang sendiri kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di dalam sidang DUN.
Sementara itu, Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berkata, tindakan enam ADUN Pas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar berkait penangguhan sidang DUN itu adalah atas kapasiti sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak lihat sepenuhnya kenyataan enam wakil rakyat tersebut, tetapi kenyataan mereka menuntut penjelasan adalah sebagai wakil rakyat yang bertanya, bukan bagi pihak Pas. Pas menerima tindakan mereka yang ingin penjelasan atas kapasiti sebagai wakil rakyat itu dan ia bukan bertujuan untuk menimbulkan ketidakharmonian di dalam kerajaan PN.
“Saya juga percaya Menteri Besar tangguh sidang DUN bukan disebabkan takut dengan undi tidak percaya. Penangguhan ini mengikut undang-undang dan peraturan,” katanya.-UTUSAN










