KANGAR: Kebajikan dan kesejahteraan rakyat Perlis terus menjadi keutamaan dan fokus Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Sepanjang tempoh dua bulan mentadbir negeri, Abu Bakar aktif melaksanakan pelbagai inisiatif selain terus menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Pusat demi kebajikan rakyat.
Salah satu program kebajikan yang memberi impak atau kesan cukup signifikan kepada rakyat adalah mengimarahkan Ramadan dengan penyampaian sumbangan kepada penerima di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.
Program imarah Ramadan bermula dari 27 Februari hingga 15 Mac itu memberi manfaat kepada 3,000 hingga 5,000 penerima.
Abu Bakar berkata, menjelang tempoh 100 hari pertama sebagai Menteri Besar, beliau akan berusaha membawa era baharu kepada perubahan corak kepemimpinan bagi menjadikan Perlis negeri berkebajikan.
Beliau juga telah mengunjungi kementerian-kementerian termasuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan perhatian kerajaan untuk kepentingan rakyat.
“Insya-Allah, hasilnya akan ada sedikit sumbangan atau duit raya kepada rakyat Perlis. Jika 1,000 penerima bagi satu DUN, keseluruhan 15 DUN akan menyaksikan 15,000 penerima mendapat duit raya sempena Aidilfitri tahun ini.
“Selain itu, antara fokus 100 hari sebagai Menteri Besar adalah melihat kepada potensi pembangunan seperti hotel atau kilang-kilang termasuk perumahan mampu milik.
“Kita juga sudah membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan sebanyak 2,000 unit rumah mampu milik,” katanya di sini semalam. – UTUSAN










