PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Malaysia berpendirian bahawa Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Malaysia terus mempertahan keutuhan wilayah, hak-hak kedaulatan dan kepentingan negara.
Menurut beliau, Malaysia berpegang teguh bahawa kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian dan tindakan yang akan diambil.
“Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif.
“Sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan universally recognised principles of International law, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982,” katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta, hari ini.
Ismail Sabri berkata, Malaysia terus komited mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim di antara kedua-dua negara dan bersepakat agar usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan.
Berkaitan isu Myanmar, beliau dan Presiden Indonesia bersependapat bahawa isu itu perlu ditangani dengan baik dan Malaysia menyokong penuh Konsensus Lima Perkara yang telah dicapai dalam Mesyuarat Pemimpin ASEAN serta menyeru pelaksanaannya dapat dilakukan dengan segera.
Katanya, Malaysia dan Indonesia juga sepakat berkaitan isu penyertaan Myanmar di mesyuarat-mesyuarat ASEAN buat masa ini.
“Berkaitan isu Rohingya, Malaysia yang secara langsung terkesan kerana terpaksa menerima jumlah pelarian Rohingya yang tinggi, akan terus mendokong usaha-usaha ke arah proses repatriasi warga Rohingya ke tempat asal mereka di Wilayah Rakhine.
“Saya berharap negara-negara terbabit akan dapat membantu Malaysia menyelesaikan masalah pelarian ini,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia melibatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan yang kerjasama dan bantuan bersama dalam perkara kastam.
Beliau berkata, pemeteraian kedua-dua MoU ini sebagai satu lagi tanda kepada tahap hubungan baik yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut beliau, sebanyak lima lagi MoU dan perjanjian juga dimeterai sektor swasta kedua-dua negara dengan nilai pelaburan yang memasuki Indonesia melalui MoU dan perjanjian ini bernilai AS$3.1 bilion. – UTUSAN ONLINE










