KUCHING: Syarikat penerbangan Scoot Tigerair Pte. Ltd. akan memulakan penerbangan terus dua kali seminggu antara Singapura dan Miri pada pertengahan Januari 2022.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Khim Shin berkata, setakat ini Kementerian Pengangkutan Sarawak menerima lampu hijau daripada Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenai permohonan Scoot Tigerair Pte. Ltd. untuk mengendalikan penerbangan dua kali seminggu antara Singapura dan Miri yang akan bermula tahun depan.
Menurut beliau, pada 27 Oktober lalu, pihak Kementerian Pengangkutan Sarawak telah menulis surat kepada Scoot Tigerair meminta syarikat penerbangan itu menyerahkan fail aero mereka kepada Mvacom untuk proses selanjutnya.
“Pada 11 Oktober, Scoot Tigerair menulis surat mengenai hasrat mereka mengadakan penerbangan terus antara Singapura dan Miri. Kerajaan Sarawak menyambut baik cadangan Scoot Tigerair untuk mengadakan penerbangan terus antara Singapura dan Miri, Sarawak.
“Sebagai permulaan, syarikat penerbangan itu akan mengadakan penerbangan dua kali seminggu antara Singapura dan Miri dan sebaliknya bermula pertengahan Januari 2022,” katanya.
Beliau memberitahu, pada masa ini Scoot Tigerair mengendalikan tiga kali penerbangan seminggu dari Singapura ke Kuching dan ia adalah tepat pada masanya untuk syarikat penerbangan itu beroperasi ke bandar utama lain di Sarawak.
Selain itu, beliau berkata, Shell Malaysia (Shell) akan memindahkan ibu pejabat aktiviti huluannya ke Miri, Sarawak dan akan menempatkan 2,000 kakitangan Shell di seluruh Malaysia ke Miri yang menunjukkan keyakinan syarikat itu dengan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.
Oleh itu beliau berkata, dengan penerbangan Scoot Tigerair yang menghubungkan Singapura dan Miri, mana-mana kakitangan Shell dari luar negara yang perlu berada di Miri akan dapat menaiki penerbangan terbang terus dari Singapura atau Kuala Lumpur.