BANDUNG: Pihak berkuasa Indonesia menahan 12 suspek selepas membongkar sindiket pemerdagangan yang didakwa sudah menghantar lebih 10 bayi ke Singapura, menurut pegawai polis pada Selasa.
Pengarah Siasatan Jenayah Am Polis Jawa Barat, Surawan berkata, kes itu terbongkar selepas pasangan ibu bapa membuat laporan polis bayi mereka diculik.
Jelasnya, siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang suspek yang mengaku memperdagangkan hampir 24 orang bayi.
Menurut beliau, para pelaku didakwa memindahkan bayi-bayi tersebut ke bandar Pontianak di pulau Borneo, sebelum lebih daripada 12 daripada mereka dihantar ke Singapura.
“Berdasarkan dokumen, 14 bayi sudah dihantar ke Singapura.
“Kesemua bayi berumur bawah satu tahun, termasuk yang berusia tiga bulan, lima bulan, dan enam bulan,” katanya.
Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan lima bayi di Pontianak dan seorang lagi di Tangerang, sebuah bandar berhampiran ibu kota Jakarta.
“Seramai 12 suspek ditahan di Jakarta, Pontianak dan Bandung. Mereka ini adalah satu sindiket pemerdagangan bayi. Setiap seorang mempunyai peranan masing-masing,” kata Surawan.
Katanya, ada antara suspek ditugaskan untuk mencari bayi, manakala yang lain menjaga, menempatkan, atau menyediakan dokumen pendaftaran sivil seperti kad keluarga dan pasport.
Menurut Surawan, sindiket itu beroperasi sejak tahun 2023 berdasarkan keterangan suspek.
Polis berkata, sindiket itu menyasarkan ibu bapa atau ibu yang enggan menjaga anak mereka dengan menawarkan bayaran lumayan sebagai ganjaran untuk menyerahkan bayi mereka.
Surawan turut mendedahkan ibu bapa yang membuat laporan penculikan itu sebenarnya mempunyai perjanjian lebih awal dengan anggota sindiket, namun tampil membuat laporan selepas tidak menerima bayaran yang dijanjikan.
Pemerdagangan manusia merupakan isu domestik yang berterusan di Indonesia, dengan kes terburuk menyaksikan sekurang-kurangnya 57 orang ditemui dikurung di sebuah ladang kelapa sawit di Sumatera Utara pada 2022.-AFP










