Pulau Pinang sasar sifar keciciran pelajar menjelang 2030

Pulau Pinang sasar sifar keciciran pelajar menjelang 2030

MOHAMAD Abdul Hamid (dua dari kanan) ketika meninjau reruai Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang, di Sunshine Central, Air Itam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang menetapkan sasaran untuk mencapai sifar kadar keciciran pelajar menjelang tahun 2030.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, walaupun kadar keciciran pelajar di negeri ini masih terkawal dan tidak berada pada tahap yang kritikal, namun, usaha berterusan perlu digerakkan bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan.

“Buat masa ini, Pulau Pinang tidak berada dalam keadaan kritikal (dari segi keciciran pelajar) tetapi, apapun, kita tidak boleh leka.

“Kita komited ke arah sasaran sifar keciciran (pelajar) menjelang 2030. Ia bukan sesuatu yang mustahil. Dengan pelaksanaan program kesedaran dan kolaborasi berterusan, sasaran ini pasti boleh dicapai,” katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, kadar kehadiran pelajar ke sekolah di negeri ini kini mencecah 92 peratus manakala hanya kira-kira lapan peratus direkodkan sebagai pelajar tercicir.

Katanya, daripada jumlah itu pula, dianggarkan antara tiga hingga lima peratus merupakan pelajar tahfiz yang belajar di institusi tidak berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, sementara tiga peratus lagi langsung tidak bersekolah.

“Pelajar tahfiz yang tidak berdaftar dengan JPN dianggap tercicir kerana tidak berada dalam sistem pendidikan rasmi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Jika kita ketepikan pelajar tahfiz yang tidak berdaftar, maka, kadar keciciran sebenar hanya kira-kira tiga peratus iaitu pelajar yang langsung tidak hadir ke sekolah rendah atau menengah kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, pengurusi masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat serta pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) giat menjejak dan membawa semula pelajar yang tercicir ke alam persekolahan.

“Dalam hal ini, JPN turut memantau pelajar yang dikategorikan sebagai berisiko tercicir iaitu mereka yang mendaftar tetapi kerap tidak hadir ke sekolah.

“Golongan ini membabitkan kira-kira dua peratus pelajar yang sering terkesan akibat masalah pencapaian akademik, kekangan kewangan serta keperluan untuk bekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN