KUALA TERENGGANU: Sebanyak 169,346 MyKad Generasi Baharu dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara sehingga 6 Oktober lalu.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, jumlah permohonan MyKad di seluruh negara turut meningkat sebanyak 25 peratus pada bulan lalu berbanding Ogos lepas yang menunjukkan penerimaan positif rakyat terhadap usaha pemodenan dokumen identiti diri.
Katanya, MyKad Generasi Baharu menawarkan tahap keselamatan lebih tinggi apabila jumlah ciri keselamatan ditambah daripada 23 kepada 53 ciri sekali gus membantu mengekang pemalsuan identiti.
“Perhatian dan maklum balas positif yang diterima membuktikan bahawa rakyat Malaysia sangat peka dan prihatin terhadap kepentingan dokumen identiti diri yang lebih selamat.
“Orang ramai juga semakin jelas mengenai kelebihan MyKad Generasi Baharu khususnya dari aspek peningkatan ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi,” katanya pada Program MEKAR Komuniti sempena Hari Pendaftaran Negara di Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Badrul Hisham berkata, bagi menampung peningkatan permohonan, JPN merancang menambah jumlah Pusat Pengeluaran Kad daripada 60 kepada 70 buah menjelang pertengahan bulan ini.
Katanya, sehingga kini, pengeluaran MyKad Generasi Baharu dilaksanakan di 69 Pusat Pengeluaran Kad di seluruh negara manakala sebuah lagi pusat iaitu JPN Daerah Langkawi, Kedah berada pada fasa akhir penyediaan dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.
“Di Terengganu, terdapat empat Pusat Pengeluaran Kad iaitu JPN Negeri Terengganu, JPN UTC Terengganu, JPN Dungun dan JPN Besut,” katanya.
Badrul Hisham berkata, lima negeri mencatatkan pengeluaran MyKad Generasi Baharu tertinggi sepanjang September lalu iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 20,592, Johor (18,871), Sarawak (15,777), Sabah (13,711) dan Selangor (13,425).
“Bagi Terengganu pula, sebanyak 6,227 permohonan MyKad Generasi Baharu dicatatkan sepanjang September lalu,” katanya. – UTUSAN











