Sasaran BN menang 2/3 berpijak pada bumi nyata - Utusan Malaysia

Sasaran BN menang 2/3 berpijak pada bumi nyata

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AYER KEROH: Sasaran Barisan Nasional (BN) untuk menang dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka atau 20 kerusi adalah realistik dengan berpijak kepada bumi nyata.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu bersandarkan realiti semasa, malah ketika tsunami politik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN mampu menang 13 daripada 28 kerusi DUN.

Justeru kata beliau, situasi kini adalah sebaliknya dan sekali gus memberi harapan kepada BN untuk menang sekurang-kurangnya 20 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Jadi harapan kami untuk menang lebih 13 kerusi adalah berpijak kepada bumi nyata. Ketika itu kami bertanding solo dan sekarang pun sama. Namun jentera BN janganlah patah semangat, teruskan usaha sehingga saat akhir,” katanya.

Ahmad berkata demikian dalam slot Sembang Politik PRN Melaka MMTV yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Utusan Online semalam.

Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan tujuan sasaran itu dibuat kerana mahu kerajaan dibentuk kelak adalah stabil dan sekali gus berupaya membawa kemajuan kepada Melaka.

“Mengapa kami sasaran dua pertiga? Hal ini kerana tema BN dalam pilihan raya ini iaitu ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’. Kalau dapat dua pertiga barulah stabil.

“Kalau dah stabil, macam-macam boleh buat, khususnya meminda Perlembagaan negeri untuk menambah lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan. Jika tidak stabil, macam-macam boleh berlaku,” katanya.

Sebaliknya Ahmad mengakui terdapat kesukaran untuk mencapai sasaran tersebut khususnya berhadapan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya.

Jelas beliau, perkara tersebut menyebabkan dua kekuatan kempen BN iaitu kempen ke rumah dan ceramah berkelompok tidak dapat dilaksanakan sekali gus menjejaskan usaha untuk meraih sokongan rakyat.

“Namun ia tidak menjadikan kami kecewa dengan meneruskan apa sahaja yang boleh dibuat seperti mesyuarat dan taklimat jentera, hantar risalah ke rumah dan berkempen di media sosial.

“Ada masa tiga hari untuk kita berbuat demikian. Memang SOP mengekang kita, namun dengan itu kami berharap tidak sehingga menyebabkan kenaikan kes,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN