Sabah yakin capai 30 peratus TPA menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Sabah yakin capai 30 peratus TPA menjelang 2025

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berada pada landasan yang tepat untuk memastikan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di Sabah mencapai 30 peratus menjelang 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada masa ini lebih 26 peratus keluasan tanah di Sabah atau 1.9 juta hektar sudah diwartakan sebagai TPA di bawah inisiatif Jantung Borneo (HoB).

Beliau berkata, Sabah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam pemuliharaan hutan sejak penubuhan inisiatif HoB pada 14 tahun lalu.

Menerusi inisiatif HoB sebanyak 2,000 hektar hutan simpan berjaya dipulihkan.

“Berdasarkan usaha bersepadu yang dilakukan, Sabah telah mengekalkan sebanyak 50 peratus daripada keluasan negeri ini di bawah perlindungan hutan. Malah, kawasan litupan hutan dipertingkatkan kepada 65 peratus dan 52 peratus daripadanya diwartakan sebagai hutan simpan, taman dan kawasan konservasi hidupan liar.

“Sasaran keluasan TPA itu adalah sejajar dengan pelan pembangunan lima tahun hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025. Inisiatif HoB termasuk dalam sektor jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau,” katanya semasa persidangan antarabangsa HoB secara maya hari ini.

Di samping itu katanya, Sabah akan melaksanakan pengurusan landskap bersepadu HoB di bawah program Kemudahan Alam Sekitar (GEF) yang memfokuskan kepada pengurusan pembangunan tanah dan alam sekitar.

“Projek enam tahun ini membabitkan kawasan seluas 1.6 juta hektar dalam landskap HoB dengan kos RM30.3 juta atau AS$7.3 juta akan dibiayai oleh GEF di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Sabah juga akan terlibat dalam satu lagi program yang dibiayai UNDP iaitu projek BIOFIN berkaitan pemuliharaan kewangan di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, sejak 2009 Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM47 juta untuk inisiatif HoB manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan menjanjikan tambahan RM13 juta.

Sejak 2007, sebanyak 22 pos lapangan diwujudkan untuk meningkatkan penguatkuasaan di dalam hutan simpan Sabah.

“Jabatan Perhutanan Sabah telah menubuhkan pasukan taktikal elit dikenali sebagai Protect iaitu skuad khas anti pemburuan haram untuk membantu penguatkuasaan logistik dan pasukan itu bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Operasi Khazanah bagi memeriksa isu berkaitan pencerobohan hutan.

“Bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan, kami telah melibatkan masyarakat setempat untuk berkhidmat sebagai renjer hutan kehormat dan sehingga kini terdapat 112 renjer terdiri daripada penduduk kampung,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Sabah telah menganjurkan 42 ekspedisi saintifik di sempadan HoB termasuk membabitkan 1,800 pelajar dari 34 sekolah terlibat dalam program kesedaran HoB.

Ekspedisi penyelidikan itu menghasilkan beberapa penemuan saintifik utama seperti pokok hutan hujan tertinggi di dunia di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lahad Datu, dan penemuan langur hose endemik Borneo di Maligan, Sipitang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN