RM28 juta jayakan Pelan Strategik Pendigitalan KPLB - Utusan Malaysia

RM28 juta jayakan Pelan Strategik Pendigitalan KPLB

MAHDZIR Khalid menunjukkan buku Pelan Strategik Pendigitalan KPLB 2021-2025 di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM28 juta bagi melaksanakan Pelan Strategik Pendigitalan (PSPKPLB) 2021-2025 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelan strategik berkenaan merangkumi visi, hala tuju dan rangka pelaksanaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam usaha KPLB memastikan mandat kesejahteraan masyarakat luar bandar tercapai.

Mahdzir berkata, antara matlamat utama pelan strategik berkenaan adalah untuk  mengurangkan jurang digital dan capaian internet antara penduduk bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, pelaksanaan teras pelan strategik berkenaan memperlihatkan bahawa peranan KPLB dalam pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi, keusahawanan dan pembangunan modal insan semata-mata.

“Malah, peranan KPLB juga menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 sebagai pemacu agenda Kerajaan Digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi KPLB 2021 dan Pelancaran Pelan Strategik Pendigitalan KPLB 2021-2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB  Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi  Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pelan berkenaan juga menggariskan empat teras utama iaitu Pemantapan Perkhidmatan  Digital Bersepadu dan Inklusif; Pengukuhan Infrastruktur Digital Berasaskan Teknologi Terkini dan Selamat;  Pemerkasaan Pembudayaan dan Profesionalisme ICT serta Tadbir Urus ICT yang Tuntas Dan Mampan.

Mahdzir berkata, teras pelan sterategik berkenaan disokong oleh 14 strategi dan 78 program pendigitalan yang akan disusuli dengan pemantauan berterusan agar sentiasa selari dengan aspirasi kementerian dan kerajaan. 

Beliau berkata, pelan berkenaan juga akan memfokuskan untuk projek pembangunan dan penambahbaikan di 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) diseluruh negara.

“Selain untuk menterjemahkan aspirasi kerajaan melalui Pelan Strategik Pendigitalan, ia juga merupakan komitmen Kementerian terhadap usaha menggariskan strategi pelaksanaan transformasi digital bagi menjayakan agenda “Luar Bandar Sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KPLB juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menaik taraf PKD sebagai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dalam usaha meningkatkan aktiviti ekonomi digital penduduk luar bandar.

“KLPB sedang mengadakan perbincangan dengan KKMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membolehkan kita menaik taraf capai internet di tabika milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Langkah ini diharap dapat membantu penduduk setempat di luar bandar dapat menikmati kemudahan akses internet (WiFi) secara percuma sekali gus menggalakkan mereka menyertai aktiviti ekonomi digital,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya