RM200,000 nilai kompaun sejak DUN bubar - Utusan Malaysia

RM200,000 nilai kompaun sejak DUN bubar

SEBAHAGIAN anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mula beratur seawal jam 8 pagi untuk mengundi pada hari mengundi awal bagi anggota polis dan tentera sempena PRN Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis mengeluarkan kompaun bernilai hampir RM200,000 kepada individu dan penganjur parti politik yang melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, jumlah itu membabitkan 12 kompaun dikeluarkan secara terus di lokasi kejadian kepada individu terbabit yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara terang-terangan.

“Bermula daripada pembubaran DUN negeri sehingga hari ini, sebanyak RM198,000 kompaun telah dikeluarkan kepada individu dan penganjur parti politik.

“Mereka secara jelas telah melanggar SOP MKN Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika melaksanakan program berkaitan PRN dan kempen yang disyaki menyebabkan kehadiran orang ramai sehingga tidak dapat dikawal oleh mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis juga membuka 41 kertas siasatan membabitkan kesalahan SOP, kes jenayah menggugat ketenteraman awam dan kesalahan membabitkan akta pilihan raya.

“Daripada 41 kertas siasatan dibuka, 20 kes melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah sebanyak 13 kes dan Jasin lapan kes.

“Mengikut pecahan, 21 kes melibatkan pelanggaran SOP MKN PRN (Sek. 269KK/Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LDKJT PPN 2021) dan kesalahan melibatkan kes jenayah menggugat ketenteraman awam 12 kes,” jelasnya.

Tambahnya, lapan kes dibuka di bawah Seksyen 500KK/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan kesalahan melibatkan akta pilihan raya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen, pihaknya telah meluluskan sebanyak 182 permit polis kepada individu yang memohon menggunakan kenderaan dengan pembesar suara.

Seramai 2,322 pegawai dan anggota polis akan melaksanakan undi awal di 24 pusat mengundi di seluruh Melaka hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN