KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan, isu pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu dengan diketuai oleh Pas perlu diselesaikan segera.
Katanya, jika soal pelantikan tersebut masih terus menemui jalan buntu, beliau mencadangkan agar Pas bergerak solo memandangkan isu berkenaan dilihat sudah berlarutan terlalu lama.
Hashim berkata, Pas mempunyai kekuatan sendiri dan mampu meraih keputusan lebih baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) terutama di empat negeri dikuasai ketika ini.
“Daripada bertengkar atau sebagainya lebih baik bergerak solo. Selepas keputusan PRU16, barulah berunding untuk bekerjasama dengan mana-mana parti membentuk kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin media melaporkan, jawatan Pengerusi PN akan dimansuhkan sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan pembangkang dalam pakatan itu.
Perkara itu diputuskan dalam pertemuan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin-pemimpin Pas pada 16 Januari lalu.
Menurut surat Presiden Bersatu itu kepada Presiden parti komponen PN, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu menerajui Majlis Presiden PN iaitu badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar, sementara Pas mengetuai Eksekutif yang bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan perkara itu dengan menegaskan tiada perbincangan antara Pas dan Bersatu untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN.
Sebelum itu, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung semalam telah dibatalkan, sebaliknya ketua empat parti komponen gabungan itu akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin.
Hashim sebelum ini secara peribadi mencadangkan Tuan Ibrahim sebagai calon dari Pas yang paling layak mengetuai PN sambil tidak menafikan kelayakan calon lain seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kata Hashim, di dalam Islam, terdapat empat syarat untuk seseorang itu menjadi pemimpin terbaik iaitu takut kepada Allah SWT, beramal dengan syariat, melakukan persediaan untuk akhirat dan terakhir reda dengan rezeki sekali gus menyaksikan Tuan Ibrahim menepati empat syarat-syarat tersebut.
Dalam pada itu, Hashim berkata, pertembungan antara Pas dan Bersatu itu kalau boleh diselesaikan secara baik agar dua parti itu dapat terus bersama.
“Saya tidak boleh mengulas panjang dalam isu PN ini dan berharap ia dapat diselesaikan dengan segera tanpa membiarkan isu pelantikan Pengerusi PN itu terus berlarutan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hashim memberitahu, mesyuarat Majlis Syura kelmarin berlangsung dengan baik bagi menyelesaikan sebarang perkara-perkara berbangkit. – UTUSAN










