Bekas KP Perisikan Pertahanan didakwa

Bekas KP Perisikan Pertahanan didakwa

MOHD RAZALI ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Razali Alias didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan menerima suapan AS$20,000 dan tiket penerbangan bernilai RM64,600.

Beliau merupakan pegawai kanan tentera ketiga yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah.

Mohd Razali, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) ketika itu didakwa menerima rasuah AS$20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn. Bhd., Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman.

Pemberian itu sebagai doro­ngan untuk meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan bagi tujuan pem­bayaran Perolehan Perkhid­matan Senggaraan dan Perkhid­matan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Perbuatan itu dilakukan di MDIO, Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, di sini, di antara Ogos dan November 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh telah mene­rima bayaran pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol serta Kuala Lumpur dan Estonia untuk isterinya, Azarina Bakia bernilai RM64,600 tanpa balasan daripada individu sama yang diketahui mempunyai hubungan de­ngan tugas-tugas rasmi Mohd. Rahmat.

Perbuatan dilakukan di lokasi sama, pada 15 November 2024 dan 28 April 2025 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent.

Chin How mencadangkan jamin RM200,000 dengan seorang penjamin atas alasan tuduhan yang dikenakan adalah serius. Beliau turut memohon syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana terdapat kebarangkalian bekas pegawai tentera itu melarikan diri ke luar negara.

Ram Vincent bagaimanapun memohon jumlah ikat jamin terhadap Mohd Razali dikurangkan ke RM10,000 memandang­kan jumlah yang dicadangkan adalah tidak munasabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN