3.4 juta warga asing tidak boleh beli minyak masak peket - Utusan Malaysia

3.4 juta warga asing tidak boleh beli minyak masak peket

ARMIZAN Mohd. Ali menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Mac ini, kira-kira 3.4 juta warga a­sing tidak lagi boleh membeli mi­nyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50, selaras pewar­taan larangan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ini memberi akses lebih menyeluruh kepada rakyat Malaysia terhadap kuota sebanyak 60,000 tan metrik sebulan bagi subsidi barangan keperluan itu, selain menghapuskan ketirisan.

Ia seiring penggunaan aplikasi Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang membolehkan setiap pembelian direkodkan hingga ke pengguna akhir menggunakan kod QR dan butiran kad pengenalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, eCOSS direka untuk merekodkan semua transaksi jual beli di seluruh rantaian pengeda­ran termasuk kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit bagi memastikan subsidi dimanfaatkan sepenuhnya serta mengekang penyelewengan dan penyeludupan.

“Dengan eCOSS, hanya warganegara dibenarkan membuat pembelian. Sebelum ini terdapat gesaan untuk mela­rang warga asing membeli. Namun mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan menjadi cabaran,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

eCOSS akan diintegrasikan dengan platform MyKasih untuk membolehkan warga emas dan golongan miskin yang tiada telefon pintar membuat pembelian menggunakan kad pengenalan, sekali gus memastikan subsidi minyak masak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Katanya, sejak fasa pertama bermula 1 Januari 2023, semua syarikat terlibat diwajibkan merekodkan transaksi dalam eCOSS sebagai syarat tuntutan bayaran balik subsidi, mana­kala pemborong dan peruncit perlu mendaftar bekalan melalui sistem tersebut.

“Bagi fasa kedua, penggunaan eCOSS diperluaskan sejak Mei 2025 bagi merekodkan pembelian di peringkat pengguna. Namun pembelian ma­nual masih dibenarkan di kawasan luar bandar atau premis tanpa capaian internet dengan sokongan peruncit ­disediakan,” katanya.

Katanya, eCOSS akan diintegrasikan dengan platform MyKasih untuk membolehkan warga emas dan golongan miskin yang tiada telefon pintar membuat pembelian menggunakan kad pengenalan, sekali gus memastikan subsidi minyak masak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Armizan berkata, MyKad versi baharu yang dijadual diperkenalkan 1 Jun ini akan dilengkapi fungsi khas bagi merekod pembelian mi­nyak masak peket bersubsidi.

Beliau berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menyatukan pelbagai mekanisme subsidi dan bantuan dalam satu sistem bersepadu yang lebih cekap dan telus.

“Kami bersedia melaksanakan integrasi ini. Memandangkan pelaksanaan subsidi RON95 dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan baik, perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Kewangan bagi menghubungkannya dengan MyKasih.

“Pada masa akan datang, pembelian minyak masak peket hanya memerlukan imbasan kod QR pada kad pengenalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×