Restoran ikan siakap RM1,196 dilanjutkan tempoh jawab notis - Utusan Malaysia

Restoran ikan siakap RM1,196 dilanjutkan tempoh jawab notis

ROSOL Wahid (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kedai harga patut kepada seorang peniaga pada majlis perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat Kebangsaan di Dataran Chenang, Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pemilik restoran terapung yang tular kerana menjual hidangan seekor siakap berharga RM1,196 dIlanjutkan tempoh untuk menjawab notis mengenai harga makanan yang dijual itu sehingga Rabu ini.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, tempoh itu dilanjutkan dari tarikh asal iaitu pada Khamis lalu.

Menurutnya, notis tersebut telah diserahkan kepada pemilik restoran pada 6 November lalu.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kita ada berikan notis kepada peniaga untuk menjelaskan harga makanan yang dijualnya sebelum ini, tetapi masih belum lengkap.

“Dia (peniaga) bagi harga keseluruhan, kita nak perincian, upah masak berapa, secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan di Dataran Chenang di sini hari ini.

Pada 6 November lalu, tular dalam media sosial gambar resit menunjukkan sekumpulan individu terpaksa membayar sebanyak RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat 7.48 kilogram.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, isu kekurangan minyak masak bersubsidi di seluruh negara disebabkan pihak pengeluaran terpaksa mengurangkan pengeluaran bahan masakan itu berikutan berlaku tunggakan bayaran subsidi oleh Kementerian Kewangan.

“Bayaran subsidi tersebut diberikan oleh Kementerian Kewangan kepada kita (KPDNHEP), kita yang salurkan kepada pengeluar minyak masak bersubsidi.

“Pengeluar tidak menerima bayaran (subsidi) daripada kerajaan, menyebabkan mereka tidak ada modal untuk pusingan,” jelasnya.

Jelasnya, pengeluar ini tidak menerima pembayaran subsidi tersebut sejak lima bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN