KLANG: Suspek yang dikenal pasti terlibat dalam kes tetak seorang ah long sehingga mati pada 6 November lalu di hadapan sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi di sini dilanjutkan selama enam hari lagi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tempoh reman terhadap semua suspek berusia 18 hingga 54 tahun itu berakhir hari ini namun dibenarkan Mahkamah Majistret Klang untuk dilanjutkan sehingga 23 November (Selasa).
Katanya, bagaimanapun pihaknya setakat ini masih mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut yang dibuang di Sungai Klang.
“Kita juga sedang mengesan bukti-bukti berkaitan yang lain. Berhubung kongsi gelap, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, seramai 16 suspek ditahan selepas motif awal kejadian kejadian itu dikenal pasti.
Katanya, kesemua individu itu termasuk lapan lelaki dan dua wanita diberkas dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Johor pada 10 November lalu.
Seorang lelaki dipercayai ah long mati ditetak dengan parang oleh dua penjenayah selepas menikmati makanan bersama dua anak lelakinya di sebuah kopitiam di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah dan maut di hadapan sebuah restoran lain.










