Ranhill perkukuh kemampanan pengurusan air - Utusan Malaysia

Ranhill perkukuh kemampanan pengurusan air

WAI HAN (kiri) dan Mohd. Sharizan ketika meninjau tapak projek PRS sempena Lawatan Media ke tapak tersebut yang terletak di Simpang Renggam baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akses terhadap bekalan air bersih yang selamat dan berterusan merupakan hak asasi setiap rakyat. Dalam dunia yang semakin pesat membangun industrinya, pasti wujud cabaran bagi memastikan bekalan air bersih terus dapat dibekalkan.

Namun, pembangunan industri hadir bersama kemajuan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk menyerap kesan pembangunan seperti pencemaran. Dengan teknologi baharu seperti automasi, potensi pembekalan air bersih secara berterusan dan sistematik sebenarnya meningkat seiring dengan cabarannya.

Sebagai pengendali eksklusif perkhidmatan air di Johor, Ranhill Utilities Berhad sentiasa meneroka potensi penggunaan teknologi dalam usahanya membekalkan air bersih secara berterusan kepada rakyat Johor. Melalui anak syarikatnya, Ranhill Water Technologies Sdn. Bhd. (RWT), beberapa teknologi terbaharu dapat dibangunkan.

Ranhill melalui anak syarikatnya, Ranhill SAJ Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya pengendali perkhidmatan air milik swasta yang beroperasi di Malaysia sementara pengendali lain semuanya dimiliki oleh kerajaan negeri. Selama 22 tahun tempoh operasinya di Johor, Ranhill SAJ berjaya melanjutkan lesen Tempoh Operasi 5 (OP5) di Johor untuk 2021 hingga 2023 selepas memenuhi semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sehingga kini, syarikat itu mempunyai 44 loji rawatan air dengan 22,917 kilometer laluan paip bagi membekalkan air kepada 3.8 juta pengguna di seluruh negeri Johor. Katalog perniagaannya turut melibatkan 689 takungan air dan 84 rumah pam aktif.

Bagi RWT pula, syarikat itu sehingga Disember 2020 mengoperasikan 22 loji rawatan air, air sisa dan air tebus guna menggunakan model perniagaan bina-kendali-pindah (BOT) atau pulih-milik-pindah (ROT). RWT turut berjaya mereka bentuk dan membina Loji Rawatan Kumbahan (RWT) Setara Populasi (PE) 50,000 yang dikenali sebagai STP4 di Forest City pada 25 Mac 2019 selain turut beroperasi di luar negara seperti di Thailand dan China.

Wakil media melihat dengan lebih dekat mesin DAF yang digunakan di Loji Rawatan Air Sembrong Barat baru-baru ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

 

DAF

Antara pembaharuan yang digunakan RWT bagi meningkatkan kualiti rawatan air di loji-loji milik Ranhill ialah penggunaan teknologi pengapungan udara terlarut (DAF) yang berjaya menyelesaikan masalah alga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RWT, Tin Wai Han, teknologi DAF mula diguna pakai selepas kawasan di sekitar empangan di loji tersebut dibangunkan, mewujudkan masalah alga yang tidak dapat diatasi proses rawatan secara konvensional.

Tidak mahu sekadar menyelesaikan satu masalah semata-mata, RWT melengkapkan beberapa lojinya dengan teknologi DAF secara automatik penuh yang menjadikan proses rawatannya lebih cekap dan menjimatkan kos.

“Teknologi DAF memang sudah wujud lama tetapi kelebihan di Sembrong Barat ini, kami gabungkannya bersama tapisan pasir. 

“Seluruh proses juga dikawal dalam satu bilik kawalan sahaja, yang mana pekerja boleh memantau proses rawatan dan dalam masa sama dapat meneliti kualiti air yang dihasilkan di setiap peringkat, dalam bilik yang sama,” kata Wai Han ketika ditemui media di Loji Rawatan Air Sembrong Barat, Johor baru-baru ini.

OPERATOR Projek Tapak PRS, T. Yuvarajah meninjau bahagian ‘scrubber’ yang digunakan untuk menghapuskan nitrogen ammonia yang berbahaya dalam tinjauan di tapak tersebut di sini, hari ini. Projek PRS yang dikendalikan oleh pihak Ranhill Water Technologies Sdn. Bhd. ini mula beroperasi pada tahun 2019 sebagai sebuah projek CSR bagi menyelesaikan masalah pencemaran ammonia di Sungai Benut dan Sungai Simpang Renggam yang sering berlaku sebelum ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

PRS

Percaya bahawa tanggungjawab penyedia bekalan air bukan sekadar menyediakan bekalan air yang bersih kepada pengguna, Ranhill turut menitikberatkan penjagaan alam sekitar, terutamanya kualiti sungai. 

Wawasan tersebut mendorong syarikat itu melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membangunkan loji Sistem Nyahcemar (PRS) di Simpang Renggam.

Menelan belanja RM6.9 juta, loji tersebut dibangunkan bagi merawat pencemaran ammonia di laluan Sungai Benut. Melalui teknologi automasi, loji tersebut berjaya menyelesaikan 100 peratus masalah pencemaran ammonia, sekali gus mengatasi gangguan rawatan air di loji Simpang Renggam.

Pengurus Projek Kanan RWT, Mohd. Sharizan Ibrahim berkata, sebelum pembinaan loji tersebut proses rawatan air di loji Simpang Renggam sering terganggu kerana loji hanya boleh menerima air dengan kepekatan ammonia 1.5 bahagian per juta (ppm).

“Loji ini mampu mengurangkan tahap ammonia dalam air daripada 550 ppm kepada 10 ppm dan kapasitinya adalah sebanyak 1,000 meter padu sehari. Selepas pembinaannya, gangguan pada loji Simpang Renggam berjaya diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Loji tersebut yang turut beroperasi secara automatik hanya berfungsi apabila terdapat limpahan air dari kawasan berdekatan. Menggunakan alat pengesan automatik, air yang mempunyai kepekatan ammonia melebihi 10 ppm akan melalui beberapa tahap rawatan sebelum dilepaskan semula ke sungai.

“Jika selepas rawatan, tahap ammonia masih melebihi 10 ppm, air tersebut tidak akan dilepaskan ke sungai sebaliknya dialirkan semula untuk satu lagi pusingan rawatan sehingga mencapai tahap sepatutnya.

“Semua ini dijalankan secara automatik penuh,” jelas Mohd. Sharizan.

AMRAN AWALUDDIN

Tanggungjawab sosial

Menjelaskan rasional pembinaan PRS, Ketua Pegawai Operasi Ranhill, Amran Awaluddin berkata, PRS dibina berikutan insiden gangguan pada loji rawatan Simpang Renggam yang disebabkan limpahan dari pusat pelupusan sampah berdekatan ketika hujan lebat.

Jelas beliau, loji rawatan tersebut tidak direka untuk merawat pencemaran seperti ammonia.

“Ketika pembinaannya, loji itu direka untuk merawat air dengan kualiti biasa. Apabila ada pencemaran bahan lain seperti ammonia, kita terpaksa tutup loji. Apabila terlalu kerap berlaku, cara terbaik bagi kami ialah membina PRS.

“Sebenarnya, jika loji ditutup disebabkan pencemaran air mentah, ia bukan tanggungjawab pengendali perkhidmatan bekalan air. Namun, kita dengar aduan rakyat dan tidak mahu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, jadi kita bina PRS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.