PETALING JAYA: Rakyat Malaysia diberi peluang untuk menentukan sama ada Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh 100 hari memerintah.
Rakyat boleh menjalankan penilaian terhadap barisan kabinet Keluarga Malaysia melalui soal selidik di laman MyTinjauanAKM di pautan https://tinjauansoalselidik.mampu.gov.my/ms hingga 15 November ini.
Soal selidik yang telah bermula sejak 1 November baru-baru ini, dilaksanakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapan Pembentukan Kabinet pada 27 Ogos 2021 mengumumkan bahawa 31 menteri melibatkan 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama memegang portfolio sebagai menteri.
Ismail Sabri turut menjelaskan prestasi menteri dan kementerian berdasarkan tiga elemen utama iaitu Penilaian Prestasi kementerian atau agensi, Penilaian Kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif, serta Penilaian Persepsi Awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian atau agensi di bawah tanggungjawab mereka.
Menerusi laman sesawang itu, rakyat perlu akses dua bahagian dalam soal selidik itu iaitu Bahagian A yang terdiri daripada soalan demografi serta Bahagian B yang mengandungi lima elemen penilaian.
Kedua-dua elemen itu dianggarkan hanya mengambil masa kurang daripada lima minit.- UTUSAN ONLINE










