SHAH ALAM: Keganasan rumah tangga di Selangor dilaporkan meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan pada 2020 menyebabkan tiada kekosongan pusat perlindungan sementara bagi menempatkan mangsa.
Perkara itu dimaklumkan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud yang memberitahu, ketika itu pelbagai kekangan terpaksa dihadapi apabila hotel tidak dibenarkan beroperasi bagi memberi perlindungan sementara kepada mangsa.
“Semasa PKP pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada tempat perlindungan semuanya penuh. Kalau ada hotel buka, kita akan sewa dahulu untuk beri perlindungan sebagai pilihan kerana kita tidak boleh tubuhkan pusat perlindungan yang banyak.
“Justeru sebagai langkah permulaan, ditubuhkan Hotline Aduan Keganasan Rumah Tangga (Talian Selamat) supaya bantuan awal dapat diberikan kepada mangsa yang memerlukan sokongan termasuk khidmat nasihat daripada kaunselor serta bantuan penempatan sementara,” katanya selepas melancarkan Talian Selamat di sini hari ini.
Beliau menambah, terdapat lebih sepuluh termasuk seorang kaunselor sepenuh masa akan memberikan bantuan kepada mangsa keganasan rumah tangga menerusi Talian Selamat di 03-64195027 yang mula beroperasi secara 24 jam sejak 1 November lalu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu lagi, sejak dibuka terdapat empat kes keganasan rumah tangga dilaporkan termasuk satu kes mengenai penderaan kanak-kanak yang sudah pun dimaklumkan kepada polis.
“Anggaran setakat ini, sudah dua minggu, sehari kita terima sehingga 10 panggilan, tetapi masa sambutan Hari Deepavali kita terima lebih banyak panggilan.
“Kes yang terbaharu ada penderaan kanak-kanak yang kita sudah pun rujuk kepada polis. Dalam 10 panggilan, empat berkaitan keganasan rumah tangga, enam panggilan berkaitan program dan bantuan kerajaan,” katanya.
Sebagai makluman, Talian Selamat dikendalikan oleh Wanita Berdaya Selangor Sdn. Bhd. menerusi peruntukan sebanyak RM100,000 yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jun lalu.-UTUSAN ONLINE










