Fatin Afeefa hadkan penggunaan telefon bimbit pembantu rumah - Utusan Malaysia

Fatin Afeefa hadkan penggunaan telefon bimbit pembantu rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Fatin Afeefa mendedahkan dirinya memberi keizinan kepada pembantu rumahnya untuk menggunakan telefon bimbit seminggu sekali sahaja.

Menurut Afeefa, dia tidak kisah sekiranya pembantu rumahnya itu mahu berehat sewaktu anak bongsunya sedang tidur asalkan tidak melanggar perjanjian tersebut.

“Anak saya buas. Jadi saya faham, jaga kanak-kanak sangat memenatkan. Saya pun penat sebab itu saya ambil dia bekerja. Mahu rehat, rehat saja. Janji dia jaga anak saya dengan elok.

“Anak pun sayang dengan dia. Yang penting, telefon bimbit seminggu sekali saja boleh guna,” katanya di Threads membalas persoalan seorang wanita mengenai tindakan pembantu rumahnya yang berehat ketika anak kecil sedang tidur.

Enggan tindakannya disalah tafsir, pelakon filem Tentang Bulan itu mengakui dirinya terpaksa berbuat demikian kerana pernah berdepan dengan pembantu rumah yang cuai ketika menjaga anak-anaknya sebelum ini.

“Ya, saya minta telefon bimbitnya setiap minggu dan dia bersetuju. Saya terpaksa sebab sebelum ini bekas pembantu menggunakan telefon tanpa had, kononnya kesian rindu kampung.

“Tetapi dia main telefon bimbit 24 jam. Anak saya jatuh tergolek pun dia tidak perasan. Apabila saya hadkan penggunaan pada waktu malam sahaja, dia bangun lewat walaupun saya bagi dia berehat dalam bilik tepat jam 9 malam,” kongsinya.

Dalam perkongsian lain, Afeefa turut mendedahkan bekas pembantu rumahnya pernah membawa masuk lelaki yang dipercayai teman lelaki sewaktu ketiadaannya di rumah.

“Dengar macam kejam, kan? Saya terpaksa. Pembantu rumah saya dulu saya berikan akses telefon 24/7, dengan alasan supaya mudah dihubungi sekiranya ada kecemasan keluarga.

“Tetapi sampai berani membawa masuk lelaki ke rumah saya. Bila telefon sentiasa di tangan, macam-macam rancangan dibuat dengan teman lelaki. Itulah “kecemasan” yang dimaksudkan.

“Pembantu rumah saya yang baharu pula, keluarganya dan pihak agensi mempunyai nombor saya. Mereka akan berhubung terus dengan saya jika ada sebarang kecemasan. Setakat ini, Alhamdulillah pembantu rumah saya baik sahaja,” ujarnya.

Meskipun memberi kelonggaran untuk berehat, pelakon itu turut menetapkan bahawa pembantu rumahnya hanya boleh tidur di ruangan yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) agar mudah dipantau.

“Pembantu boleh tidur dan berehat di ruang tamu atau bilik anak sahaja. Pastikan ada CCTV. Jangan bagi pembantu rumah bawa anak tidur bilik dia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN