Promosi kesihatan masih rendah punda negara tidak sihat

Promosi kesihatan masih rendah

PROMOSI kesihatan dilaksanakan kerajaan dikatakan masih berada pada tahap rendah sekali gus menyukarkan lagi peluasan pendidikan kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Promosi kesihatan masih rendah di seluruh negara menjadi antara pendorong Malaysia dikategorikan sebagai bukan negara sihat.

Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, semua pihak dapat melihat bahawa promosi kesihatan dilaksanakan kerajaan masih berada pada tahap yang rendah sekali gus menyukarkan lagi peluasan pendidikan kesihatan.

SHARIFA EZAT WAN PUTEH

Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak pendidikan kesihatan tidak boleh diharapkan kepada kerajaan semata-mata, tetapi promosi itu juga perlu disesuaikan mengikut budaya di sesebuah kawasan.

“Promosi kesihatan banyak dilakukan oleh kerajaan, tetapi input yang diberi oleh kerajaan sangat sikit.

“Berapa kerap kita lihat iklan tentang budaya sihat, jika ada pun hanya sesekali dan bukannya setiap hari. Maka kita tak begitu promosikan budaya kesihatan sihat dan penjagaan diri kendiri.

“Malah, promosi kesihatan itu juga perlu dilaksanakan berkait dengan budaya dan keadaan di kawasan itu.

“Mungkin strategi program bersenam di luar bandar bukan promosi kesihatan yang baik, tetapi lebih kepada penerangan makanan sihat dengan kos rendah dan efektif. Maka itu perlu disesuaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Malaysia dikategorikan sebagai bukan negara sihat berdasarkan kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu terbukti menerusi statistik yang menunjukkan Malaysia antara negara tertinggi dalam beberapa masalah kesihatan termasuk sakit jantung.

Malah katanya, kadar kematian yang tinggi di negara ini akibat Covid-19 banyak berkait rapat dengan mereka yang merupakan penghidap penyakit kronik.

Menurut Dr. Sharifa Ezat, pihaknya juga melihat cara pembayaran sistem kesihatan yang ditawarkan di negara ini mempengaruhi tahap kesedaran yang rendah itu.

Katanya, ini berikutan mentaliti rakyat tidak mengambil berat soal kesihatan disebabkan subsidi disediakan oleh sistem perkhidmatan kerajaan berbanding di negara maju.

“Contohnya, kebanyakan rakyat guna perkhidmatan kerajaan atau awam yang kebanyakannya disubsidi oleh kerajaan.

“Namun, negara luar bayar kesihatan mereka sendiri sama ada insurans diri, insurans tempat kerja atau bayar sendiri. Jadi mereka sangat prihatin tentang kesihatan dan elakkan diri mereka dari jatuh sakit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berpandangan, pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan rakyat negara ini sudah tinggi, namun amalan dan pelaksanaan itu masih rendah.

Justeru, katanya, amalan dan pelaksanaan dalam mendorong rakyat ke arah gaya hidup sihat itu perlu disokong oleh peraturan-peraturan daripada kerajaan.

“Perlu adanya peraturan makanan sihat, merokok, rokok elektronik, cukai gula, pemberian subsidi makanan yang lebih sihat.

“Contoh, apabila kerajaan gunakan cukai makanan bergula, maka itu dapat mengurangkan penggunaan gula dan mengurangkan penyakit yang berkaitannya.

“Malah, jika ada subsidi dari segi pemakanan yang sihat dengan harga sederhana, ini dapat membantu rakyat mengamalkan hidup sihat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.