IPOH: Polis menafikan dakwaan seorang wanita yang tular di aplikasi Tiktok berkaitan tiada tindakan diambil terhadap aduannya yang didakwa berdepan ancaman keselamatan.
Berdasarkan video satu minit 44 saat yang dimuat naik itu, wanita terbabit mendakwa telah dua kali menghubungi balai polis untuk memohon bantuan kerana bimbang keselamatannya dan anak.
Bagaimanapun dakwa wanita itu, tiada bantuan daripada pihak polis termasuk datang ke rumahnya.
Menerusi video tersebut, wanita itu juga mendakwa telefon bimbitnya telah digodam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suaminya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan mendapati wanita itu pernah menghubungi Balai Polis Kampung Rapat pada pukul 7.15 pagi, semalam.
Katanya, dalam aduan itu, wanita terbabit mendakwa terdapat kenderaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya.
“Pegawai polis yang sampai di lokasi kejadian telah membuat pemantauan dan pemeriksaan namun tidak menjumpai kenderaan mahupun individu yang mencurigakan.
“Hasil semakan mendapati, wanita itu pernah membuat enam laporan polis mengenai masalah rumah tangga dan satu laporan berkaitan peranti komunikasi digodam.
“Kesemua laporan polis itu dibuat pada tahun ini dan kita telah mengambil tindakan sewajarnya ke atas laporan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, bagi memastikan keselamatan wanita itu, seorang pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ipoh telah dihantar ke rumahnya.
Bagaimanapun katanya, wanita itu enggan memberi kerjasama kepada pihak polis.
“Pihak polis juga telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengadakan lawatan kebajikan bersama ke rumah wanita itu.
“Komen-komen negatif yang dilemparkan wanita itu melalui video berkenaan kononnya pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap aduannya adalah tidak tepat dan tidak adil kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN










