JOHOR BAHRU: Polis Johor menyangkal tuduhan kemungkinan akan berlaku kejadian ragut jalanan di negeri ini yang melibatkan rakyat Singapura apabila sempadan dibuka.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis Johor akan meneruskan tindakan pencegahan secara agresif bagi membanteras kegiatan jenayah dan memastikan negeri ini selamat didiami dan dikunjungi.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai apa jua yang ditularkan dan menyemak dahulu kesahihan maklumat berkenaan.
“Bagi tahun ini, kadar jenayah indeks di Johor mencatatkan penurunan sebanyak 2,610 kes (39.67 peratus) membabitkan jenayah harta benda menurun 41.37 peratus, manakala jenayah kekerasan menurun 32.21 peratus.
“Kes samun ragut di Johor mencatatkan penurunan sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus, selain kes curi motosikal juga menurun sebanyak 1,099 kes iaitu 51.05 peratus.
“Secara keseluruhan, kedudukan jenayah di negeri ini dalam keadaan terkawal dan perangkaan jenayah indeks menunjukkan trend jenayah menurun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tersebar di media sosial yang melaporkan rakyat Kota Singa itu terdedah kepada jenayah ragut yang menanti mereka setelah masuk ke negeri ini.
Kenyataan yang tular itu mengingatkan kepada rakyat republik itu untuk tidak datang ke Johor Bahru kerana terdapat banyak penjenayah.
“Berita mengatakan terdapat ratusan penjenayah bermotosikal menunggu di luar pusat membeli belah mencari pelancong Singapura. Jika tidak menyerahkan wang, mereka akan keluarkan pisau dan mencederakan anda.
“Polis tidak akan mempedulikan perkara ini disebabkan terlalu ramai penjenayah. Mereka sudah lama kesusahan dan akan menjadikan rakyat Singapura yang berbelanja di sana sebagai mangsa,” tulis kenyataan tular itu.
Ayob Khan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap individu menularkan kenyataan palsu di media sosial berhubung dakwaan itu.
“Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih,” katanya.










