Wayang Kulit Gedek tak hilang ditelan zaman

Wayang Kulit Gedek tak hilang ditelan zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAM itu di bawah cahaya lampu redup, bayang-bayang mula menari di sebalik kelir putih.

Irama gendang ibu bergema, serunai beralun dan suara dalang menghidupkan watak Etong, Ekeng atau Pak Tam, Seniman Nunoi, Aito dan Tok Maha Guru.

Watak-watak ini sudah berpuluh tahun menjadi nadi Wayang Kulit Gedek di bumi utara dan sebahagian daripada identiti masyarakat di Kedah yang membesar dengan Wayang Kulit Sri Asun dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitulah keindahan wayang kulit, satu seni warisan Melayu yang telah berakar sejak berabad lamanya sehingga menjadi medium hiburan rakyat, pendidikan moral dan wadah penyampaian nilai-nilai kehidupan.

Dalam era moden yang serba canggih, seni ini mungkin kelihatan tenggelam ditelan arus teknologi, namun hakikatnya ia tetap utuh berdiri ibarat kata pepatah ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Wayang Kulit Sri Asun pernah gah di bawah Allahyarham Pak Majid, dalang tersohor yang dikenang sebagai pelopor dalam seni ini.

Walaupun kumpulan asal tidak lagi aktif selepas pemergiannya, legasi seni itu tidak terhenti, sebaliknya diteruskan generasi pelapis yang pernah berguru dengannya.

Antaranya, kumpulan Wayang Kulit Warisan Enam Bersaudara yang diketuai Azhar Ruslan sebagai tok dalang yang bukan sekadar penggerak patung tetapi juga pengarah, pelakon, penyanyi, pemuzik dan pencerita dalam satu masa.

Setiap suara yang dilontarkan lelaki berusia 43 tahun itu membawa watak berbeza, daripada lucu hingga berwibawa semuanya dihidupkan hanya melalui nada dan intonasi yang dikuasainya melalui ketekunan latihan.

Menurut Azhar, Wayang Kulit Warisan Enam Bersaudara ditubuhkan sejak 2007 selepas berguru dengan Allahyarham Pak Majid dan Tok Wi.

“Setelah Pak Majid meninggal dunia, kami teruskan membawa seni wayang kulit ini agar warisan Melayu tidak hilang ditelan zaman, malah setiap watak turut dikekalkan selain lagu dan muziknya supaya Wayang Kulit Gedek dilihat sebagai seni asal wayang kulit yang asli,” katanya baru-baru ini.

Gedek atau ‘tergedik-gedik’
Perkataan ‘gedek’ yang digunakan merujuk kepada pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang kelihatan melompat-lompat atau ‘tergedik-gedik’ apabila dimainkan di atas kelir atau tirai layar.

Perbezaan Wayang Kulit Gedek dengan wayang kulit dari Kelantan atau Jawa dapat dilihat dari segi bahasa, bentuk patung, nama-nama watak serta jenis cerita yang dipersembahkan.

Wayang Kulit Gedek juga menggunakan bahasa Melayu Kedah dengan pengaruh Siam, sementara nama-nama patung khususnya watak jenaka masih dikekalkan dalam nama asal Siam.

Pengaruh budaya Siam yang begitu ketara dalam gaya pementasan, lakonan, muzik dan naratif persembahan menjadikan Wayang Kulit Gedek amat unik.

Menceritakan tentang peranan tok dalang, Azhar berkata, tugas tersebut bukan mudah kerana memerlukan kemahiran khusus sehinggakan mereka sukar untuk mencari pelapis yang benar-benar berbakat.

“Saya mula berkecimpung dalam wayang kulit pada usia 10 tahun kerana memang minat dengan seni ini sejak kecil, tetapi sebelum menjadi tok dalang saya perlu mahir sebagai pemuzik dahulu agar kita dapat menghidupkan watak-watak yang ada.

“Hanya enam tahun kemudian barulah saya belajar ilmu untuk menjadi tok dalang.

“Untuk menjadi tok dalang dalam Wayang Kulit Gedek ini kita kena berupaya menghasilkan sekurang-kurangnya 12 jenis suara untuk watak-watak seperti Etong dan Ekeng kerana suara mereka masing-masing tak sama,” katanya.

Undangan persembahan setiap bulan
Walaupun perjalanan mereka sederhana, semangat mempertahankan Wayang Kulit Gedek sungguh luar biasa dengan harapan dapat membawa seni warisan bangsa itu ke persada dunia tanpa mengorbankan jati diri asalnya.

Malah, bermula dari persembahan kecil di kampung, kumpulan Warisan Enam Bersaudara ini telah mengharumkan nama negara di pentas luar seperti Jakarta, Indonesia dan Songkhla, Thailand.

“Dalam negara pula boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja undangan daripada pelbagai pihak untuk kami mempersembahkan seni Wayang Kulit Gedek ini sama ada di Kedah atau Perlis sendiri sehinggalah ke ibu kota.

“Wayang kulit ada nilai yang mendalam. Kalau kita hayati, kisahnya penuh dengan pengajaran tentang kesetiaan, keberanian, keadilan dan kasih sayang. Ia bukan sekadar bayang di kelir, tetapi pantulan hati manusia,” katanya.

Azhar berkata, kumpulan itu dianggotai ahli berusia 16 tahun hingga 68 tahun termasuk mereka yang berperanan sebagai pemain muzik bagi mengiringi setiap hikayat yang disampaikan kepada penonton.

Setelah hampir dua dekad kumpulan ini berdiri, mereka menjadi antara penyambung legasi yang tidak luntur semangatnya demi menyampaikan mesej kepada masyarakat walaupun dihiasi unsur jenaka yang mampu menarik kehadiran penonton.

“Alhamdulillah, sudah hampir 20 tahun kami hidupkan kumpulan ini. Kadang-kadang rasa penat, tapi bila tengok orang masih datang menonton, tepuk tangan, saya tahu seni ini belum lagi mati,” katanya.

Kini, Azhar tidak hanya menjadi tok dalang, tetapi juga guru yang melatih remaja tempatan mempelajari teknik tok dalang dan muzik tradisional agar api warisan ini tidak padam.

“Saya mahu budak-budak muda tahu, ini bukan sekadar hiburan, tetapi seni bangsa dan sejarah kita. Kalau kita tak teruskan, siapa lagi?” katanya.

 

Pemain muzik nadi wayang kulit
Di sebalik kelincahan tok dalang menggerakkan watak wayang kulit di atas layar, sebenarnya ada satu lagi pasukan yang tidak kurang pentingnya iaitu kumpulan pemuzik yang menjadi nadi penghidup setiap hikayat dipentaskan.

Deruan gong, hentakan gendang, paluan canang dan bunyi serunai bukan sekadar latar bunyi, tetapi menjadi jiwa yang menyatukan gerak wayang, dialog serta emosi penonton.

Shahrul Ahmad Abdullah, 42, pemuzik serunai kumpulan Warisan Enam Bersaudara berkata, pemain muzik merupakan ‘denyut nadi’ persembahan tradisional itu.

Tanpa irama dan rentak mereka, kisah yang dilakonkan akan terasa hambar dan hilang rohnya.

“Setiap alat muzik ada peranannya, serunai misalnya menggambarkan suasana. Kalau watak tengah marah bunyinya tinggi dan garang, kalau sedih nadanya sayu.

“Pemuzik kena faham jalan cerita supaya muzik yang dimainkan seiring dengan babak.

“Walaupun teknologi moden menawarkan pelbagai bentuk hiburan, kumpulan wayang kulit tradisional masih mengekalkan alunan muzik asal tanpa bantuan rakaman. Semua dimainkan secara langsung bagi mengekalkan keaslian dan roh persembahan,” katanya.

Kini, walaupun semakin sukar mencari generasi muda yang mahu mempelajari seni muzik tradisional ini, usaha terus dijalankan oleh kumpulan seperti Warisan Enam Bersaudara untuk melatih pemain baharu agar seni lama ini tidak hilang ditelan zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini