Polis konsisten banteras judi, maksiat - Utusan Malaysia

Polis konsisten banteras judi, maksiat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan 929 individu terlibat aktiviti perjudian serta 152 individu di bawah kesalahan hiburan dan maksiat dalam serbuan yang dijalankan sejak Januari lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Senior Asisten Komisioner Suresh Kumar berkata, pihak polis sentiasa konsisten melaksanakan operasi khas bagi membanteras aktiviti itu termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sebanyak 1,855 serbuan dilancarkan dan pihak polis menahan 929 individu yang terlibat dengan pelbagai kesalahan perjudian.

“Selain itu, sebanyak 23,221 peralatan perjudian seperti telefon bimbit, komputer dan mesin cetak mudah alih serta sejumlah wang turut dirampas dan hampir separuh daripada tangkapan dituduh di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bagi membanteras aktiviti maksiat, tindakan melalui Op Noda dijalankan dan menahan 152 individu daripada 41 serbuan atas pelbagai kesalahan hiburan dan maksiat.

“Kesalahan-kesalahan tersebut juga termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta 342 dan Peraturan-Peraturan semasa di bawahnya,” katanya.

Tambahnya, pihak polis menasihati agar orang ramai khususnya pengusaha-pengusaha pusat hiburan supaya patuh kepada arahan kerajaan dan undang-undang sedia ada.

“Aktiviti ini juga bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi turut menyebabkan risiko penularan Covid-19 meningkat dan pihak polis akan terus konsisten membanteras aktiviti-aktiviti jenayah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN