PH Sabah kemuka Agenda Reformasi kepada kerajaan - Utusan Malaysia

PH Sabah kemuka Agenda Reformasi kepada kerajaan

PEMIMPIN PH Sabah menyerahkan Agenda Reformasi Sabah kepada Hajiji Noor (tujuh kanan) di Menara Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mengemukakan Agenda Reformasi Sabah yang mengandungi tujuh syor utama bagi membolehkan semua parti bekerjasama demi memperjuangkan hak-hak rakyat di negeri ini.

Tujuh syor utama ini termasuk autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); tadbir urus menangani pandemik Covid-19; Pelan Pemulihan Ekonomi Sabah; reformasi pentadbiran dan politik; reformasi Dewan Undangan Negeri (DUN); tadbir urus Orang Asal Sabah; dan tadbir urus keselamatan.

Itu antara perkara dinyatakan dalam kenyataan bersama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Frankie Poon Ming Fung; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

“PH Sabah berpendapat Agenda Reformasi Sabah adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh dan seharusnya menjadi agenda bersama semua parti politik dan penggubal undang-undang sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang.

“PH Sabah juga ingin menegaskan bahawa agenda reformasi ini bukan memorandum persefahaman (MoU) seperti dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Ia adalah syor konsensus agar semua parti di Sabah bekerjasama memastikan hak rakyat Sabah diperjuangkan dengan sebaik-baiknya terutama menuntut pelaksanaan MA63,” katanya.

Agenda Reformasi Sabah itu dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, hari ini.

Menerusi agenda itu, PH Sabah turut mengemukakan syor-syor berkaitan pemulihan ekonomi untuk diambil kira dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini.

Agenda tersebut juga termasuk reformasi-reformasi yang perlu dilaksanakan di DUN Sabah bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan.

Menurut kenyataan itu, PH Sabah mengalu-alukan komitmen dan jaminan Ketua Menteri untuk berbincang dengan parti-parti gabungan dalam kerajaan bagi mendapatkan konsensus bagi sama-sama memperjuang dan menjayakan Agenda Reformasi Sabah ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN