PGA tumpaskan dalang rokok, arak seludup di Semabok - Utusan Malaysia

PGA tumpaskan dalang rokok, arak seludup di Semabok

KESEMUA rokok dan arak itu dipercayai dipasarkan ke kedai runcit di seluruh Melaka dan rumah kongsi pekerja warga asing pada harga murah. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dalang penyeludupan sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai bernilai hampir RM1 juta berjaya dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sinn Semabok, di sini kelmarin.

Suspek berusia 42 tahun ditahan sepasukan Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras bersama Cawangan Risik Batalion 6 PGA pada pukul 9.30 pagi di rumah teres berkenaan.

Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan di premis tersebut, pasukannya menemukan 2,097 karton rokok dan 483 kotak arak pelbagai jenama bernilai RM963,684.21.

“Dalam serbuan itu, kita telah menahan seorang lelaki dipercayai dalang sindiket penyeludupan rokok dan arak tidak bercukai dengan penemuan bekalan bernilai hampir RM1 juta di premis berkenaan.

“Kita percaya dengan penahanan suspek, kita juga berjaya melumpuhkan satu sindiket yang menjadikan rumah-rumah di taman perumahan sebagai stor simpanan,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Banda Hilir di sini hari ini.

Tambahnya, turut dirampas sebuah kereta jenis Hyundai disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengakui telah menjaga kesemua bekalan di rumah tersebut yang disewa sejak lebih sebulan lalu.

“Kesemua barangan itu dipercayai dipasarkan ke kedai runcit di seluruh negeri ini dan rumah kongsi pekerja warga asing pada harga murah.

“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan terhadap kemungkinan ia diseludup melalui jalan darat dan laut dari negara jiran,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN