PGA rampas barangan seludup RM202 juta - Utusan Malaysia

PGA rampas barangan seludup RM202 juta

MAZLAN Lazim meninjau Sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Benteng di Jeti Pengkalan Marin, Sungai Golok di Tumpat. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan seludup termasuk dadah dan kontraban bernilai RM202 juta menerusi operasi kawalan sempadan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu membabitkan 1,751 kes dalam operasi yang dilaksanakan lima briged iaitu Briged Utara, Tengah, Tenggara, Sarawak dan Sabah.

“Rampasan paling tinggi dilakukan Briged Tengah yang berjumlah RM75 juta dengan tangkapan seramai 833 individu, diikuti Briged Tenggara (RM52 juta), Sarawak (RM38 juta), Sabah (RM27 juta) dan Utara (RM8 juta).

“Dari segi tangkapan PATI pula dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini adalah 141 orang dengan Thailand merekodkan angka tertinggi 134 orang diikuti Kemboja empat orang dan Bangladesh tiga orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Kerja dan Tinjauan Sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Benteng di Jeti Pengkalan Marin, Sungai Golok di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata, penambahan lapan pos kawalan PGA di Sabah dan Sarawak dilihat mampu meningkatkan persiapan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal sempadan negara.

“Satu pos Batalion 16 PGA ditempatkan di Pos Pagalungan, Keningau di Sabah manakala Batalion 10 PGA di Sarawak melibatkan Pos Tapak Megah, Belaga dan Pos Ulu Sungai Paku – Undop, Sri Aman.

“Bagi Batalion 11 PGA di Sarawak, tugasan mereka melibatkan Pos Biawak di Lundu, Pos Raso (Lundu), Pos Sebubok (Bau), Pos Sapit (Padawan) dan Pos Temong Mura (Serian) membabitkan penambahan 26 pegawai dan anggota PGA di setiap pos kawalan baharu.

“Setakat ini, seramai 3,250 pegawai dan anggota PGA ditempatkan di 170 buah pos kawalan di seluruh negara menerusi penugasan Op Benteng,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu mengumumkan, kerajaan bersetuju menambah lapan pos kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN