Pertahan momentum ini... - Utusan Malaysia

Pertahan momentum ini…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA nampaknya semakin pulih. Negeri beralih fasa, sektor ekonomi dibuka dan jalan raya semakin penuh. Sana-sini orang bercuti meraikan kebebasan yang sekian lama terpendam.

Punyalah pulih negara ini sehingga ahli politik boleh saling menjatuhkan sehingga mencetuskan Pilihan Raya Negeri. Kemudian ahli politik main ugut-ugut pula mahu laksanakan pilihan raya di negeri lain.

Biarlah ahli politik dengan kerenah jengkelnya. Yang saya mahu ceritakan di sini tentang pemulihan lapangan muzik independen.

Pulih semangat
Pemulihan yang saya ingin cerita ini tiada indikator material. Tak boleh diukur dengan indeks-indeks ekonomi. Ia tentang pulihnya semangat jiwa-jiwa yang mengisi ekosistem muzik independen.

Dalam beberapa bulan ini, banyak sungguh berita gembira yang saya dengar. Pemuzik mula bertemu rentak untuk berkarya. Acara-acara yang sekian lama tertangguh bergerak semula.

Paling meriah pastilah gig. Setiap minggu ada sahaja gig baharu diumumkan. Ruang acara kembali sibuk termasuk barisan pub yang semakin galak menampilkan persembahan muzik.

Tidak dilupakan pelancaran album baharu, jelajah gig ke seluruh negara dan penganjuran acara-acara yang memeriahkan lapangan.

Ah, seronok hirup udara gembira.

Kekal momentum
Tidak adil kalau nak kata ini kali pertama suasana positif sebegini muncul dalam lapangan sepanjang pandemik menyerang. Beberapa bulan lalu kita pernah optimis begini tetapi tempohnya tidak lama. Keseronokan lenyap direntap situasi pandemik negara.

Walaupun banyak hal yang menentukan mula-tamat kebebasan yang dinikmati sekarang di luar kawalan, kita perlu berusaha sebaik mungkin, setakat kemampuan kita, untuk mengekalkan momentum yang ada.

Sukar untuk fahamkan orang betapa lapangan muzik independen yang aktif memberi makna kepada kehidupan kita. Pergi gig, dengar album atau lagu baharu: semua ini dapat bantu kita lapangkan fikiran. Namun, janganlah harap orang akan faham kenapa kita nak sangat semua ini berlaku.

Maka, janganlah juga kita harap orang lain yang akan pertahankan momentum yang wujud ketika ini. Mereka tidak mahu dan saya percaya, tidak terlintas pun di fikiran mereka untuk bantu kita. Nama pun independen. Apa manfaat yang mereka boleh beri, kota ambil. Kalau satu habuk pun tak pernah ada, kita usaha sendiri.

Jalan terus

Apa yang kita boleh buat, kita buat. Beli tiket gig, beli lagu dan album kugiran serta penyanyi kegemaran. Kalau pergi gig, jaga SOP seboleh mungkin supaya tak wujud masalah berbangkit.

Kalau dah usaha tapi masih juga keseronokan kita diragut manusia-manusia berkepentingan yang jahat, kita maki. Kita lepaskan segala kemarahan kemudian terus buat apa yang kita mampu untuk hidupkan lapangan semula.

Memang tidak adil bunyinya tapi itulah realiti dunia. Kita lahir sebagai manusia bebas tetapi hidup dicengkam tukang karut, dalang wayang, ahli korporat, doktor jiwa dan pakar kitab yang tidak fikir pun nasib kita.

Doa saya, urusan semua jiwa yang mengisi ekosistem muzik independen dipermudah supaya kita boleh terus menghirup manfaat usaha mereka. Untuk yang entah berapa kali saya ucapkan, dirgahayu lapangan muzik independen Malaysia!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN