Persoal kedudukan istimewa orang Melayu, Ahli Parlimen PKR wajar diambil tindakan - Pensyarah - Utusan Malaysia

Persoal kedudukan istimewa orang Melayu, Ahli Parlimen PKR wajar diambil tindakan – Pensyarah

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana membangkitkan isu Perkara 153  Perlembagaan Persekutuan supaya dikaji semula mengenai kedudukan istimewa orang Melayu. 

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, mana-mana pihak tidak wajar berbuat demikian, apatah lagi seorang Ahli Parlimen yang dianggap mempunyai imuniti untuk mempertikai kandungan Perkara-Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan di mana-mana sahaja, walau di dalam Parlimen sekalipun.

KAMARUL ZAMAN YUSOFF

Menurut beliau, kes seumpama itu pernah berlaku apabila Ahli Parlimen Kinabalu, Mark Koding dihukum Mahkamah Persekutuan kerana ucapan beliau di Parlimen pada 11 Oktober 1978 yang menganjurkan supaya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan (mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan) dirombak.

“Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan pada waktu itu tegas memutuskan bahawa “pengharaman ke atas mempersoalkan kewujudan Perkara-Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan telah dijadikan mutlak oleh perenggan (c) seksyen 3(2) Akta Hasutan”.

“Maka apabila Mark Koding dihukum mahkamah kerana berucap di Parlimen mempersoalkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, jadi tiada sebab mengapa Hassan tidak boleh dihukum oleh mahkamah juga kerana berucap di Parlimen mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 November lalu, Hassan yang juga peguam dari PKR itu menyebut dalam Persidangan Dewan Rakyat dengan menyatakan bahawa  ‘sudah sampai masanya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (mengenai kedudukan istimewa orang Melayu) dikaji semula’.

Dalam Penyata Perbahasan Parlimen yang dikeluarkan jelas tercatat Hassan menyebut: “Jadi Tuan Yang Dipertua, saya fikir sudah sampai masanya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dikaji semula”.

Sebuah portal berita turut melaporkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, kerajaan harus meneliti semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan menyusun semula dasar tindakan afirmatif Malaysia.

Hassan berkata, bumiputera diperuntukkan RM10 bilion setiap tahun tetapi lebih 70 peratus daripada mereka yang mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP adalah bumiputera.

“Siapakah bumiputera yang mendapat manfaat daripada semua peruntukan ini apabila Melayu, Sabah dan bumiputera Sarawak masih miskin?” katanya semasa Perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Berhubung isu berkenaan, Kamarul Zaman berkata,  beliau sendiri sudah menyemak dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; bekas Peguam Negara,  Tan Sri Apandi Ali dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.

Beliau berkata, kesemua mereka mengesahkan bahawa tindakan Hassan menyentuh mengenai Perkara 153 itu sememangnya melanggar Akta Hasutan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Khalil Idham Lim Abdullah membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen berkenaan agar pihak berkuasa menyiasat perkara itu. 

Ini kerana beliau percaya kenyataan Hassan itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana ia termasuk di dalam kategori mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya