Permohonan baharu, kemaskini BKM dibuka Januari 2022 - Utusan Malaysia

Permohonan baharu, kemaskini BKM dibuka Januari 2022

MOHD. SHAHAR Abdullah (dua, kiri) menyampaikan replika geran program tunas usahawan belia bumiputera pada Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan komited membantu rakyat menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan menyediakan peluang permohonan baharu dan kemaskini data pada Januari tahun depan. 

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah berkata, usaha itu bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan mempunyai peluang untuk memohon.

Menurutnya, pembayaran BKM akan dilaksanakan empat kali setahun dan tarikh pembayaran yang pertama dijangka pada bulan Mac 2022.

“Proses permohonan yang diberikan bermula 1 hingga 31 Januari tahun hadapan dijangka lebih dipermudahkan untuk kemudahan rakyat.

“Mereka hanya perlu membuat semakan dan kemaskini dalam pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, bagi memastikan tiada yang tercicir, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas Covid (BKC) B40, akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.

“Kita (kerajaan) sebenarnya komited untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan rentan (B40) dengan menyediakan bantuan tunai  sebanyak RM8.2 bilion di bawah BKM pada tahun hadapan. 

“Kita jangka seramai 9.6 juta penerima akan menerima manfaat itu dan bantuan ini disediakan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pembayaran fasa satu BKC selesai dibuat September lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.

Pembayaran BKC fasa kedua telah dibuat bermula 25 November lalu dengan peruntukan RM300 juta melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.

Pembayaran seterusnya iaitu fasa ketiga BKC akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan iaitu Disember ini dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya