PETALING JAYA: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan semalam secara keseluruhannya berjaya apabila stesen cerapan dan sistem Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menunjukkan taburan hujan yang signifikan di Kedah dan Perlis.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan data stesen cerapan dan sistem MyRAE MET Malaysia, Perlis mencatatkan antara 10 millimeter (mm) hinga 45 mm hujan bermula pukul 7 malam hingga 8 malam semalam.
Manakala, di Kedah, taburan hujan sebanyak 6 mm hingga 57.4 mm berlaku pada tempoh 7 malam hingga 10 malam.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelaksanaan OPA dalam kondisi atmosfera yang sesuai adalah sangat efektif dalam menangani isu kekurangan air di kawasan tadahan kritikal.
“Operasi ini merupakan langkah intervensi bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang terjejas akibat cuaca kering dan kekurangan hujan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Usaha ini memberi fokus kepada 11 empangan utama yang dalam kategori waspada, amaran dan kritikal melibatkan tiga negeri di utara iaitu Perak, Kedah dan Perlis, serta satu kawasan di selatan Semenanjung iaitu Johor bermula 6 hingga 8 April 2026,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, operasi pembenihan awam akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak.
“Saya percaya usaha bersepadu seperti ini membuktikan bahawa kesiapsiagaan, tindakan berasaskan sains serta ikhtiar berterusan mampu menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid meninjau persiapan OPA yang dilaksanakan MET Malaysia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang yang menyasarkan kawasan tadahan Empangan Muda, Pedu, dan Ahning di Kedah, serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.
Susulan itu, operasi telah bermula pada jam 3:00 petang di kawasan Kedah dan diteruskan di kawasan Timah Tasoh pada jam 3:40 petang.
Teknik yang digunakan adalah semburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus menara menggunakan pesawat C130-Hercules milik TUDM.
Berdasarkan data cerapan radar cuaca, hujan mula dikesan di sekitar Empangan Timah Tasoh seawal pukul 5 petang, manakala di kawasan Empangan Ahning, hujan pada pukul 7.30 hingga 9 malam.
Secara keseluruhannya, taburan hujan merangkumi kawasan tadahan utama bagi semua empangan terlibat.-UTUSAN










