Lelaki didenda RM7,500 tipu jual kereta lelong

Lelaki didenda RM7,500 tipu jual kereta lelong

TERTUDUH diiringi anggota polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Kuala Krai, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM7,500 ke atas seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas tuduhan menipu dalam urusan pembelian kereta lelong yang tidak wujud, Ogos tahun lalu.

Muhamad Azhar Muhamad Riski, 47, yang bekerja sebagai penjual kereta membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan  di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 11 hingga 18 Ogos 2025 di sebuah rumah di Kampung Budi, di sini, dengan mempedaya mangsa, Mohd. Tabliq Abdullah,37, untuk mempercayai bahawa dia merupakan penjual kereta lelong menggunakan nama Syarikat Azhar Motor Enterprise.

Tertuduh dengan niat curang telah memperdaya mangsa untuk membeli sebuah kereta jenis Honda Civic dan mendorong mangsa menyerahkan wang  berjumlah RM37,000 melalui tiga transaksi ke akaun Agro Bank milik syarikat berkenaan.

Transaksi tersebut melibatkan bayaran sebanyak RM5,000 pada 11 Ogos 2025, diikuti RM31,760 pada 17 Ogos 2025 dan RM240 pada keesokan harinya. Bagaimanapun, tertuduh mengetahui urusan jual beli itu adalah palsu dan tidak berniat untuk menyerahkan kenderaan seperti dijanjikan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN