KUANTAN: Kerajaan negeri menyediakan insentif RM1,500 kepada setiap pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi menghargai usaha dan kecemerlangan mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif itu melibatkan sumbangan RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM500 daripada Yayasan Pahang.
Katanya, pemberian insentif tersebut adalah tanda penghargaan kerajaan negeri kepada pelajar yang membuktikan pendidikan tahfiz mampu melahirkan generasi cemerlang dalam bidang akademik.
“Sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan yang dicapai oleh anak-anak kita, kerajaan negeri menyampaikan Insentif Kecemerlangan SPM 2025 kepada pelajar yang diraikan. Saya harap insentif ini menjadi suntikan semangat untuk mereka meneruskan perjalanan ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2025 MTNP dan MTTNP di Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kejayaan pelajar tahfiz membuktikan pendidikan berteraskan al-Quran bukan pendidikan kelas kedua, sebaliknya mampu melahirkan generasi seimbang dari segi ilmu agama, akademik dan sahsiah.
Bagi peperiksaan SPM 2025, MTNP merekodkan pencapaian membanggakan apabila 25 daripada 70 calon memperoleh keputusan semua A dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.06 sekali gus meletakkan institusi itu di tangga keempat terbaik di Malaysia. MTTNP pula cemerlang apabila muncul sebagai sekolah terbaik di Malaysia dengan GPS 0.60 apabila 41 daripada 48 calon memperoleh keputusan semua A. – UTUSAN










