Perkeso Negeri Sembilan anjur karnival bantu OKU cari kerja

Perkeso Negeri Sembilan bantu OKU cari kerja

FUAD Alias (dua dari kanan) bertemu dengan golongan OKU yang hadir pada Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021 di Seremban, hari ini. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesukaran golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan pekerjaan mendorong Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan menganjurkan Karnival Kerjaya Inspirasi 2021 yang menawarkan 450 peluang kerjaya. 

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, karnival tersebut buat julang kalinya diadakan dengan penglibatan 14 majikan termasuk daripada sektor perhotelan, perkilangan, pasar raya serta restoran makanan segera. 

“Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021 ini pertama kali diadakan untuk memperkasa dan membantu golongan OKU bagi mendapatkan akses peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan tempatan. 

“Peserta yang hadir akan menjalani sesi temuduga secara terbuka dengan tawaran gaji di antara RM1,200 hingga RM3,500, sekiranya dipilih mereka akan dimaklumkan,” katanya dalam sidang akhbar pada Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021, di sini hari ini. 

Jelas Fuad, pihaknya berharap majikan mengambil golongan OKU ini bekerja bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan sendiri sama seperti individu normal yang lain. 

“Selain tawaran kerja, Perkeso turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya dan latihan pekerja OKU dengan bayaran RM4,000 kepada penyedia latihan sekiranya diperlukan oleh pihak majikan. 

“Berdasarkan statistik, terdapat sebanyak 2,000 orang OKU di negeri ini melibatkan masalah pembelajaran, bisu dan pekak, buta, hilang anggota badan, tidak boleh bergerak dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Fuad memberitahu, ada dalam kalangan ibu bapa OKU tersebut tidak mahu melepaskan anak istimewa mereka untuk bekerja kerana difahamkan mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bimbang bantuan akan diputuskan. 

“Jika boleh bekerja sendiri lebih baik daripada mengharapkan bantuan JKM melainkan anak istimewa itu betul-betul tidak mampu bekerja atau bergerak.

“Kami juga bekerjasama dengan persatuan-persatuan OKU bagi memberi hebahan dan maklumat mengenai peluang pekerjaan yang disediakan,” katanya lagi. 

Beliau berkata, Perkeso berharap golongan OKU dapat memanfaatkan segala peluang ditawarkan di karnival tersebut bagi mencapai sasaran seramai 450 OKU berjaya mendapat kerja yang ditawarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya