Perkenal lebih banyak insentif untuk pelabur asing melabur semula - Utusan Malaysia

Perkenal lebih banyak insentif untuk pelabur asing melabur semula

BRIAN MCFEETERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) perlu mempertimbang lebih banyak insentif kepada syarikat asing untuk melabur semula di negara ini. 

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, banyak syarikat luar negara termasuk dari AS berminat untuk melabur semula di negara ini namun sokongan dan faedah daripada kerajaan untuk mereka meneruskannya dilihat tidak memberangsangkan. 

Jelas beliau, sokongan dan faedah yang diterima syarikat asing yang ingin melabur semula itu tidak sama seperti yang dinikmati mereka sewaktu mula-mula melabur di negara ini. 

Situasi itu tambahnya, adalah kerugian kepada Malaysia memandangkan pelaburan semula oleh syarikat asing berkenaan juga adalah satu bentuk pelaburan baharu yang memberi pulangan kepada negara. 

“Secara umumnya, sokongan dan faedah yang diberikan kepada pelabur baharu di Malaysia adalah sangat positif dan mereka menerima sokongan yang  baik. 

“Sebagai contoh banyak syarikat dari AS yang beroperasi di Batu Kawan di sini melahirkan maklum balas positif khususnya bagaimana mereka dengan cepat boleh membina kilang dan mula beroperasi hanya dalam tempoh setahun selepas pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Terdahulu, McFeeters yang dalam rangka lawatan rasmi ke negeri ini selama dua hari sejak semalam mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 pelabur dari AS yang beroperasi di Pulau Pinang. 

Dalam lawatan itu juga, beliau  melakukan kunjungan rasmi terhadap Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. 

Mengulas lanjut, McFeeters berkata, selain pengecualian cukai tertentu,  sokongan yang boleh ditawarkan kepada syarikat asing khususnya dari AS itu adalah faedah khusus kepada pakar-pakar kejuruteraan yang berhijrah untuk bekerja di negara ini. 

Dalam perkembangan sama, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan perlu memberi tumpuan khusus kepada dasar perdagangan negara yang disifatkan tidak konsisten sehingga membimbangkan pelabur asing termasuk dari AS. 

“Masih terdapat isu yang dibangkitkan dari kalangan pelabur mengenai ketelusan dan konsistensi dasar serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaburan di negara ini yang perlu ditangani,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN