Penyeludupan daun ketum kembali rancak di Perlis

Penyeludupan daun ketum kembali rancak di Perlis

AZHAR Hashim (dua dari kiri) bersama Rosman Kasman (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas sepanjang penugasan Op Benteng di Bukit Kayu Hitam, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Sindiket penyeludupan daun ketum didapati lebih rancak melakukan kegiatan haram itu di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis berbanding Kedah sejak kebelakangan ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Superintenden Azhar Hashim berkata, situasi itu berdasarkan kejayaan anggota merampas sebanyak empat tan daun tumbuhan itu di kawasan sempadan di Perlis dalam masa sebulan.

Katanya, kesemua daun ketum dianggarkan bernilai RM120,000 tersebut dirampas dalam 10 kejadian berasingan di kawasan kebun dan semak sekitar Wang Kelian, Chuping, Padang Besar dan Bukit Wai, Kuala Perlis.

“Kita melihat sindiket ini juga beralih ke kawasan hutan di sekitar Wang Kelian berbanding sepanjang pagar sempadan di Padang Besar dekat sini dan Bukit Kayu Hitam,”  katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai kejayaan Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand di Kompleks Aksem Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Asisten Komisioner Rosman Kasman dan Pegawai Pemerintah Unit Berkuda, Deputi Superintenden Nurhidayah Damanhoori.

Batalion 3 PGA mengambil alih tugas operasi tersebut mulai 24 Oktober lalu sehingga hari ini dan berjaya mencatatkan 15 kejayaan sepanjang kawalan dan rondaan meliputi kawasan sejauh 105 kilometer dengan nilai rampasan keseluruhan RM135,855.

Menurut Azhar, sindiket penyeludupan dipercayai menggunakan lorong tikus di kawasan hutan di Perlis bagi menyeludup daun ketum ke negara jiran.

“Modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu meninggalkan guni berisi daun ketum di lokasi berhampiran sempadan sebelum diambil pihak lain untuk diseludup ke negara jiran,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata Azhar, sepanjang sebulan penugasan itu, tiada rampasan daun ketum dilakukan di sempadan negara sebelah Kedah.

“Walau bagaimanapun kita ada membuat tangkapan tiga PATI warga Myanmar di Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Tambahnya, kawalan dan rondaan di sepanjang sempadan yang turut dibantu Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekang kegiatan penyeludupan di pagar keselamatan.

“Kita mendapati tiada lagi cubaan menyeludup di beberapa lokasi panas penyeludupan sebelum ini setelah rondaan dan kawalan diperketatkan anggota PGA dengan bantuan Unit Berkuda dan Unit Udara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya