Penunggang p-hailing dikesan kerap langgar lampu merah - Utusan Malaysia

Penunggang p-hailing dikesan kerap langgar lampu merah

ADENAN Md. Isa ketika meninjau Op Merah melibatkan penunggang motosikal di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kesalahan melanggar isyarat lampu merah melibatkan penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) mencatatkan kes tertinggi dalam Op Merah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bermula 8 Oktober lalu.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, daripada 236 kesalahan sebahagian daripadanya iaitu 118 individu terdiri daripada penunggang p-hailing.

“Kebanyakan penunggang p-hailing memang nak cepat, jadi mereka selalu akan memecut laju untuk kejar trip.

“Tindakan mereka ini akan meningkatkan risiko kemalangan bukan sahaja terhadap diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain.

“Keadaan lalu lintas juga sudah kembali sesak, justeru kita mengeluarkan notis saman kepada mereka yang melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita di Jalan Tenggiri, di sini hari ini.

Dalam operasi itu yang bermula 8 Oktober lalu, secara keseluruhannya sebanyak 537 kesalahan telah direkodkan membabitkan penunggang motosikal di negeri ini.

Adenan berkata, antara kesalahan lain yang turut dikesan termasuk tiada lesen memandu membabitkan 142 kes.

Katanya, kesalahan melanggar isyarat lalu-lintas jalan sehala (25), tidak memakai topi keledar (27), memandu bawah umur (2), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (79) serta lain-lain kesalahan (26) turut dicatatkan sepanjang operasi berlangsung.

Adenan berkata, tindakan penguatkuasaan bertujuan untuk mendisiplinkan mereka yang melakukan kesalahan supaya lebih berhati-hati ketika menunggang di jalan raya.

“Tambahan pula sempena musim perayaan Deepavali ini, penunggang p-hailing sepatutnyalah mematuhi peraturan demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN