Penduduk buntu hadapi banjir termenung - Utusan Malaysia

Penduduk buntu hadapi banjir termenung

SAIDATUL Akma Che Din menunjukkan air yang memenuhi kawasan rumahnya susulan banjir termenung di Kampung Banggol Besi, Tanah Merah, Pendang. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Sebanyak 24 keluarga di Banggol Besi, Tanah Merah di sini menjadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai rumah kedua susulan kejadian banjir termenung sejak 24 Oktober lalu.

Walaupun paras air Sungai Pendang telah kembali surut sejak beberapa hari lalu namun kawasan kampung itu masih ditenggelami banjir.

Penduduk terlibat terpaksa tinggal di PPS di Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah di sini kerana masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing.

Penduduk kampung, Saidatul Akma Che Din, 35, berkata, dia dan dua anaknya terpaksa tinggal di PPS Dewan Rakan Sukan ini sejak hari pertama banjir sehingga rumahnya dimasuki air sehingga hampir satu meter.

“Kejadian berlaku pantas menyebabkan kami terpaksa dipindahkan segera bagi mengelak dihanyutkan air kerana rumah terletak berhampiran sungai.

“Sehingga hari ini saya tidak dapat pulang ke rumah kerana air masih bertakung dan memenuhi kawasan kediaman,” katanya ketika  ditemui di Kampung Banggol Besi di sini hari ini.

Penduduk, Mohd. Irwan Abu Kassim, 32, berkata, banjir termenung yang dihadapi itu menyusahkan kehidupan seharian mereka empat beranak.

“Kami telah lama mendiami PPS ini dan berbagai perasaan tidak selesa mula timbul kerana teringatkan rumah yang masih dipenuhi air.

“Memang kecewa kerana banjir kali ini menyebabkan kami tidak dapat pulang untuk membersihkan rumah berikutan banjir termenung,” katanya.

Penduduk, Nursarawati Bakar, 36, berkata, dia dan 12 ahli keluarganya juga sering teringatkan rumah mereka yang telah lama ditinggalkan.

“Berpindah ke PPS memang perkara biasa tiap kali banjir sejak mendiami kampung ini 30 tahun lalu tetapi keadaan banjir termenung yang berlarutan lama menyebabkan kami runsing berbagai peralatan rumah yang rosak dan lama terendam air.

“Sekolah akan dibuka tidak lama lagi tetapi kami masih tidak dibenarkan pulang ke rumah berikutan paras air masih tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN