Pendam rasa sakit demi bisnes - Utusan Malaysia

Pendam rasa sakit demi bisnes

WALAUPUN menderita akibat masalah saraf, Azlina Ishak tetap gigih menyiapkan tempahan biskut dan kek yang diterima daripada pelanggan menerusi perniagaan Arianna Delights Bakery di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Wanita ini pernah memendam rasa sakit akibat masalah saraf untuk tempoh agak lama sepanjang tahun lepas hanya kerana minatnya terhadap bidang pembuatan kek dan biskut.

Sepanjang tempoh itu, Azlina Ishak, 38, bagaimanapun tetap bertungkus-lumus menyi­apkan tempahan yang diterima daripada pelanggannya sambil mengikuti sesi fisioterapi.

Dia turut menggagahkan diri mengikuti kelas memandu yang telah didaftarnya sebelum itu.

Berkat kesabaran ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia kini berjaya menjana pendapatan sehingga RM55,000 untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini termasuk kutipan jualan RM20,000 sepanjang Ramadan lalu.

“Kalau hendak diikutkan, sudah 21 tahun saya terlibat industri pembuatan kek dan biskut namun cabaran yang perlu dilalui waktu itu khususnya dari segi pemasaran amat sukar.

“Bermula kecil-kecilan termasuk sebagai peserta program e-Kasih, Rezeki Tani dan sebagainya, alhamdulillah, sejak itu tempahan yang saya terima daripada pelanggan kian bertambah dari hari ke hari,” katanya.

Azlina ditemui ketika menerima kunjungan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohd. Azraie Ramli pada Maj­lis Penyerahan Insentif Geran Agroprenuer Muda (GAM) di pejabatnya iaitu Arianna Delights Bakery di Kampung Jawa, Jalan Baru di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, dia menerima geran RM20,000 terdiri daripada pelbagai peralatan bakeri termasuk mesin semperit separa automatik, peti penyejuk beku serta 10 dulang makanan.

Menurut Azlina, ketika ini dia menghasilkan sehingga 30 jenis biskut di bawah jenama Arianna Delights termasuk lima jenis semperit selain pelbagai jenis kek mengikut cita rasa pelanggan.

Dijual pada harga serendah RM15 untuk kotak kecik yang berisi antara 25 hingga 30 biji, antara biskutnya yang mendapat perhatian ketika ini terma­suk Semperit Dahlia, Semperit Red Velvet, Tat Nanas, Red Velvet Cookies, Chocolate Almond Cookies dan Yummy Shortbread.

Selain dibantu oleh suami dan anak-anaknya, Azlina juga mempunyai empat pekerja sambilan yang akan membantunya keti­ka menerima tempahan yang agak tinggi daripada pelanggan.

Dalam pada itu, Mohd. Azraie mem­beritahu, kisah kesungguhan dan kejayaan Azlina walaupun ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 boleh dijadikan contoh kepada usahawan FAMA yang lain.

“Sejak 2015 hingga kini, ter­dapat 82 usahawan Pulau Pinang menerima geran ini (GAM) dengan 78 daripadanya merupakan usahawan bumiputera da­lam pelbagai bidang.

“Jumlah peruntukan yang disalurkan untuk geran ini pula keseluruhannya dianggarkan RM1.295 juta,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN